fbpx

Letupan jambatan Crimea hanya ‘satu permulaan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Asap hitam memenuhi kawasan jambatan Crimea yang meletup berhampiran Kerch, kelmarin. - AFP

KIEV – Letupan yang menggegarkan jambatan Crimea awal kelmarin hanya satu ‘permulaan’, demikian menurut amaran yang dikeluarkan penasihat utama Presiden Volodymyr Zelenskyy seperti dilaporkan laman berita RT.

Menurut pegawai propaganda Ukraine berkenaan, Mykhailo Podolyak, ia merupakan permulaan kepada tindakan agresif Ukraine untuk merampas kembali apa yang menjadi miliknya.

“Crimea, jambatan tersebut, satu permulaan.

“Semua yang ‘haram’ perlu dimusnahkan, semua yang dirompak perlu dipulangkan kepada Ukraine dan semua yang ditakluk oleh Russia perlu diusir,” kata beliau yang turut bertanggungjawab mengawal dasar maklumat Zelenskyy.

Podolyak pada Ogos lalu pernah memberi amaran bahawa jambatan yang menghubungkan Russia dengan Semenanjung Crimea itu perlu dimusnahkan kerana ia dibina secara haram.

“Ia merupakan pembinaan haram dan menjadi pintu masuk utama bagi memberi bekalan kepada tentera Kremlin di Semenanjung Crimea,” ujar beliau.

Pegawai-pegawai Ukraine juga pernah berikrar untuk menyerang jambatan Crimea beberapa kali ketika konflik antara Moscow dan Kiev berlarutan.

Zelenskyy dan pasukan penasihatnya bahkan pernah mengeluarkan ancaman bahawa Ukraine akan menggunakan kaedah paksaan untuk merampas semula Semenanjung Crimea, yang mana penduduknya mengundi untuk menjadi sebahagian daripada Russia pada 2014.

Jambatan Crimea ditutup awal pagi kelmarin selepas sebuah lori meletup sehingga memusnahkan sebahagian jalan dan mengakibatkan kebakaran besar.

Letupan tersebut berlaku sekitar pukul 6 pagi (waktu tempatan), mengakibatkan tiga orang maut.

Suruhanjaya Anti-Keganasan Kebangsaan Russia berkata, sebuah lori meletup ketika ia sedang melalui struktur sepanjang 19 kilometer itu.

Suruhanjaya Siasatan Russia pula memaklumkan letupan tersebut turut mengakibatkan tujuh lori minyak yang menuju ke arah Semenanjung Crimea terbakar.

Sebahagian laluan di jambatan tersebut bagaimanapun telah dibuka semula kepada lalu lintas selepas api dipadamkan dengan laluan kereta api turut dibuka semula.

“Pergerakan kenderaan di sepanjang jambatan Crimea telah disambung semula.

“Buat masa ini, lalu lintas dibuka kepada kereta dan bas yang perlu menjalani prosedur pemeriksaan penuh,” kata Ketua Semenanjung Crimea, Sergey Aksyonov pada aplikasi Telegram.

Kesatuan insurans, All-Russian Union of Insurers menganggarkan nilai kerosakan jambatan tersebut itu adalah sekitar AS$3.2 juta hingga AS$8 juta (RM14.88 juta hingga RM37.2 juta).

Dalam pada itu, meskipun beberapa pegawai tertinggi Ukraine dilaporkan ‘meraikan’ insiden tersebut, tiada sebarang pengakuan rasmi dibuat mengenai pihak yang bertanggungjawab meletupkannya. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI