SEREMBAN – Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan setakat ini kekal tidak dibubarkan selepas mengambil kira keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) sebelum ini yang tidak membubarkan DUN Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan jika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini.
Yang Dipertua DUN Negeri Sembilan, Datuk Zulkefly Mohamad Omar berkata, menerusi keputusan mesyuarat Majlis Presiden PH, ketiga-tiga negeri itu akan menumpukan perhatian menangani permasalahan banjir dan meringankan beban mangsa yang terpaksa menghadapi bencana banjir.
“Setakat ini, ia merujuk keputusan Majlis Presiden PH, keputusan sudah dibuat begitu maka kita akan ikut, ia kekal,” katanya ketika dihubungi disini hari ini.
Jelas Zulkefly, keputusan tidak membubarkan tiga DUN itu kekal meskipun Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen hari ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum (PRU15).
Sebelum ini, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tiga negeri di bawah PH iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan tidak akan dibubarkan jika PRU15 diadakan dalam masa terdekat.
Sementara itu, Setiausaha Agung DAP yang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chennah, Loke Siew Fook berkata, DAP akan terus mendukung keputusan Majlis Presiden PH untuk tidak membubarkan DUN Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.
Siew Fook berkata, ia bagi membolehkan kerajaan negeri masing-masing terus fokus dan bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan bencana berlaku. – KOSMO! ONLINE.