fbpx
KIRA-KIRA lima juta pelajar akan menerima RM150 setiap seorang tahun depan. - Gambar hiasan

‘Kami gadai emas untuk belanja sekolah anak’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Di sebalik tekanan kos perbelanjaan yang semakin tinggi ketika ini, ibu bapa khususnya golongan B40 dan M40 menarik nafas lega atas Bantuan Awal Persekolahan (BAP) yang diibaratkan ‘durian runtuh’.

Selain itu, bantuan yang me­nyaksikan semua pelajar tanpa mengira had pendapatan ibu bapa menikmati RM150 itu dianggap satu rahmat oleh keluar­ga kurang berkemampuan dan mempunyai ramai anak.

Turut melegakan apabila kerajaan menaikkan kadar Ranca­ngan Makanan Tambahan (RMT) sebanyak RM1 yang mampu meringankan beban pengusaha kantin.

NORSHAM bersama empat anaknya bersyukur kadar BAP yang dinaikkan meringankan beban mereka.

Di Sungai Petani, Kedah, Norsham Suhada Sulaiman, 34, berkata, dia perlu menyediakan RM150 setiap seorang untuk empat anaknya yang berusia antara 6 hingga 14 tahun setiap tahun.

“Melalui kenaikkan BAP daripada RM100 ke RM150 ini, saya tidak runsing lagi untuk mencari wang tambahan kerana ia mencukupi untuk perbelanjaan mereka,” katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.

Tambahnya, kenaikan kadar makanan RMT turut mengurangkan perbelanjaan harian persekolahan empat anaknya apabila pada masa ini dia membelanjakan RM9 untuk tiga orang.

“Kenaikan kadar makanan bermasak RMT ini secara langsung akan memberikan peluang anak-anak saya mendapat makanan berkhasiat dan wang belanja harian mereka boleh dijimatkan,” katanya.

Luahan sama disuarakan seorang ibu tunggal, Ruswati Zolfaka, 43, yang menyifatkan bantuan disalurkan kerajaan sangat dinanti-nantikan kerana dengan jumlah BPA sebanyak RM600 yang bakal diterima meringankan beban ditanggung selama ini.

Dia mempunyai anak berusia tujuh tahun hingga 15 tahun.

“Jika sebelum ini, jumlah perbelanjaan untuk keperluan sekolah empat anak adalah kira-kira RM1,000 termasuk kelengkapan pakaian dan pembelian buku. Tetapi, untuk tahun depan, saya hanya mengeluarkan perbelanjaan simpanan RM200 sahaja.

“Memang pening kepala memikirkan hal perbelanjaan mereka setiap tahun dan saya guna caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial arwah suami untuk membeli segala kelengkapan sekolah anak-anak.

BERMULA tahun depan, kira-kira lima juta pelajar akan menerima bantuan sebanyak RM150 setiap seorang. – Gambar hiasan

“Selagi boleh muat dan pakai (kasut dan pakaian sekolah), selagi itulah tidak ditukar baharu,” katanya.

Sementara itu, pekerja swasta, Aina Ahmad, 39, berkata, pemberian BAP tanpa mengira had pendapatan sememangnya me­rupakan satu berita gembira buat golongan M40.

“Jumlah pendapatan isi rumah sebanyak RM8,000 sebulan kini tidak lagi dianggap sebagai pendapatan besar dan mewah memandangkan keadaan kewa­ngan serta kos sara hidup yang semakin tinggi.

“Bayangkan, pernah kami bergolok gadai barangan kemas semata-mata untuk menguruskan pembelian barangan keperluan sekolah lima anak.

“Memang satu yang memeritkan. Pendapatan yang diterima itu perlu diagihkan untuk bayaran pinjaman pembelian dua buah rumah dan kereta, bil uti­liti serta pinjaman pengajian dari Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang masih tertunggak,” jelasnya.

Gambar hiasan

Sementara itu, di Shah Alam, Selangor, pekerja kerajaan, Nasri Hasliza, 46, menyifatkan, Bajet 2023 sangat adil dan meliputi le­bih ramai penerima dalam kea­daan ekonomi yang mencabar.

“Terima kasih kerajaan. Kita sedia maklum keadaan ekonomi yang mencabar dengan kenaikan harga barang keperluan, inflasi yang tinggi, pendapatan rendah tapi bantuan ini sedikit sebanyak dapat menolong kami para ibu bapa untuk menyediakan keperluan persekolahan,” jelasnya.

Di Kuala Terengganu, Terengganu, ibu tunggal, Tengku Norlaili Tengku Hashim, 47, bersyukur dengan kesudian kerajaan menaikkan pemberian BAP mulai tahun depan.

“Sebelum ini, dua anak saya menerima RM200 dan lega apabila BAP dinaikkan kerana pendapatan sebagai tukang jahit tidak seberapa akibat kekurangan pelanggan sejak akhir-akhir ini,” katanya.

Bagi Jamilah Hanim Jamil, 35, sebelum ini, dua anaknya yang berada di darjah empat dan dua tidak layak menerima BAP ke­rana suaminya berpendapatan lebih RM3,000.

“InsyaAllah duit RM150 seorang yang akan diberi pada bulan Januari depan meringankan beban kami untuk membeli persiapan persekolahan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN