LAMA mengelak sensasi, namun terpalit jua tuduhan sengaja mencetuskan ketidakpuasan seolah-olah cemburukan populariti artis lain, si bunga sedang mekar, Siti Khadijah Halim tidak mudah terobek emosi.
Di dadanya sudah tertanam asas, untuk tidak perlu terburu-buru hendak mendakap populariti biarpun sudah lima tahun bergelar anak seni.
Mencorak haluan selepas memenangi pertandingan pencarian Gadis Panca sekitar 2017 sebelum mula menghiasi beberapa buah drama popular seperti Cerai dan The Maid, tuah menyebelahi Siti Khadijah apabila naskhah lakonannya si jekaka tampan, Aniq Suhair dalam Sekali Lagi Cinta Kembali meledak jadi kegilaan ramai.
Momentum kerjaya dan tumpuan yang diraih setakat ini melayakkan pelakon berusia 25 tahun sebaris dengan selebriti wanita popular tanah air lain.
Bagi tuan empunya badan jujurnya Siti Khadijah sedar diri. Dengan prestasi yang disifatkan masih hijau, dia enggan dilabel sebagai pelakon yang terlalu mengejar populariti atau semata-mata menjual rupa.

Mahu berdiri dan dikenali dengan bakat sendiri. Baginya, itu yang utama berbanding daripada menghiasi kisah tular sehingga menjejaskan nama baik diri dan keluarga.
“Walaupun karier tidak naik secara mendadak, saya tetap bersyukur kerana usaha keras selama ini terbayar lebih-lebih lagi apabila drama Sekali Lagi Cinta Kembali menjadi tular.
“Perkara itu sekali gus membuktikan tidak perlu cerita murahan untuk dikenali. Cukup dengan bakat yang diberikan Tuhan dan akhirnya orang mula beri perhatian,” katanya kepada Pose baru-baru ini.
Hampir satu jam berkongsi rasa, bibirnya tidak henti-henti memanjatkan rasa syukur atas setiap rezeki yang mencurah-curah ketika ini.
Katanya, walau sehebat manapun seseorang, jangan sesekali lupa untuk membumi.

Bercakap tentang kepercayaan yang semakin memihak kepadanya, Siti Khadijah menerima tanggungjawab tersebut sebagai satu cabaran.
Anak kelahiran Selangor itu juga tidak menyangka pelakon baharu sepertinya terpilih menjayakan drama sebuah dalam slot popular yang mudah menjadi kegilaan ramai.
Tidak ralat menjadi pilihan kedua mengisi tempat yang pernah ditolak pelakon lain, Siti Khadijah juga lega kepercayaan penerbit kepadanya membasuh skeptikal sesetengah pihak terhadap naskhah berkenaan.
“Saya tolak tepi semua pandangan negatif ramai termasuk tentang menjadi pilihan kedua selepas seorang pelakon wanita menolak untuk terlibat dalam drama ini.
“Malah, saya sentiasa pegang kata-kata seorang pelakon lelaki senior, Bront Palarae yang pernah pesan agar memilih tawaran lakonan berkualiti dari segi jalan cerita, watak, produksi dan barisan pelakon,” ujarnya.
Berbagi pandangan mengenai populariti, Siti Khadijah juga enggan sesekali terpalit kontroversi murahan yang boleh meninggalkan titik hitam dalam kariernya.
“Kontroversi untuk popular? Jawapan saya tidak. Biarlah merangkak untuk dikenali sekalipun, saya tidak akan sesekali melacurkan kerjaya cari makan demi mahu dikenali sekelip mata,” ungkapnya tegas.

Nama kampung, tak urban
Usai berkongsi soal karier lakonan, dia juga membuka mulut tentang cerita di sebalik namanya, Siti Khadijah.
Seperti bertepatan dengan sambutan Maulidur Rasul pada hari ini, biarpun terlalu kerdil untuk dijadikan perbandingan, dia mengakui sangat mencintai namanya yang serupa dengan nama permaisuri Rasulullah iaitu Saidatina Khadijah Khuwailid.
Bukan takbur, namun baginya nama tersebut mempunyai nilai sentimental tersendiri.
“Saya suka nama sendiri sebab kedengaran sangat tenang bila ada orang menyebutnya.
“Sejak kecil saya suka orang panggil Khadijah atau Siti, malah ini nama isteri pertama Rasulullah.

Penata gaya: Dean Ishak (IG @deanishak)
“Tapi kadang-kadang rasa sedih apabila ada segelintir individu memperlekehkan nama saya,” ujarnya lagi.
Katanya, nama tersebut sering dilabel sebagai kampung dan tidak urban.
“Selain diejek ‘kampung’, selalu juga orang mahu saya jadi seperti ‘isteri’ Rasulullah.
“Benar memang bagus perkara itu tetapi saya mahu menjadi diri sendiri dan soal dosa pahala biarlah Tuhan sahaja yang hakimi.
“Manalah tahu, doa mereka yang ingin melihat saya menjadi manusia lebih bagus termakbul. Jadi, janganlah terus menghakimi hanya kerana nama,” ujarnya lagi.
Dalam masa sama, dia juga mahu mana-mana individu yang sering diejek kerana nama agar berbangga dengan apa yang dimiliki.
“Jangan sedih dengan nama sendiri. Banggalah dengan nama anda.
“Sedangkan Fazura pun namakan anaknya Fatima, jadi mengapa perlu malu?” ujarnya seraya mengakhiri perbualan.















