KUALA LUMPUR – Had caruman sukarela Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dinaikkan daripada RM60,000 kepada RM100,000 setahun.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, had caruman itu dinaikkan berikutan kepentingan membina simpanan hari tua yang
mencukupi.
Menurutnya, kerajaan juga mewajibkan caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Perkeso kepada semua sektor pekerjaan sendiri terutamanya sektor berisiko tinggi secara berperingkat.
“Tahun hadapan, inisiatif ini akan disediakan 150 juta ringgit dan diperluas kepada mereka yang bekerja sendiri seperti pemandu teksi dan pekerja gig sektor teknologi maklumat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika pembentangan Bajet 2023 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Ujar beliau, kerajaan juga akan meluaskan skop pelepasan cukai bagi premium insurans nyawa atau caruman takaful hayat untuk meliputi caruman sukarela kepada KWSP sehingga 3,000 ringgit.
“Sukacita juga program i-Saraan akan dilanjutkan untuk tahun 2023 serta ditambah baik dengan meningkatkan caruman padanan daripada RM250 kepada RM300. – KOSMO! ONLINE