fbpx

Provokasi melampau cetus perbalahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
MUHAMMAD RIDUAN MOHD. HANAFIAH
WARTAWAN EKSEKUTIF

SENTIMEN provokasi melampau di media sosial dilihat bakal menjadi ‘bom jangka’ sekiranya ia tidak dikawal dengan baik.

Situasi itu dilihat mampu mencetuskan insiden tidak diingini seperti tragedi ‘berdarah’ yang mengorbankan 131 orang dalam rusuhan selepas perlawanan bola sepak di Indonesia baru-baru ini.

Ketika ini, ‘fanpage’ di media sosial bagai cendawan tumbuh selepas hujan apabila mereka dilihat kemaruk menjadi pesohor terutama dalam menyampaikan sesuatu maklumat yang kadang-kala berbentuk provokasi melampau yang mampu mengundang kemarahan dan mencetus kepada pergaduhan.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan (KBS), Senator Datuk Seri Ti Lian Ker mengakui bimbang dengan sentimen berbaur hasutan di media sosial dan me­negaskan jika perkara itu tidak dikawal mungkin tragedi sama seperti di Indonesia mampu berlaku di negara ini.

Tegasnya, sukan adalah satu wadah penyatuan dan bukanlah tempat melepas kemarahan sekali gus mahu provokasi dihentikan agar ia tidak menjadi pecetus pergaduhan.

“Bagi saya ini cabaran dihadapi ketika ini bukan soal sukan tetapi mengenai individu. Insiden pergaduhan boleh tercetus bila kita menghadapi penyokong yang besar dan juga tiada kawalan.

“Kadang-kala mereka tidak faham apa yang cuba disampaikan menerusi medium tersebut. Memang senang kita nak kuasai sentimen kebencian. Budaya membenci ini seharusnya dihentikan dan kita perlu benteras budaya tidak sihat ini,” katanya.

“Orang ramai kini lebih cen­derung untuk ‘memberontak’ berbanding dahulu, yang mudah mendengar kata. Jadi kekerasan bukan lagi satu pilihan terbaik, penguat kuasa perlu bijak kawal keadaan,” ujarnya.

Insiden rusuhan yang menyebabkan kematian di Indonesia bukanlah tertinggi dalam sejarah kerana pada 24 Mei 1964 di Peru, lebih daripada 300 peminat terbunuh, manakala lebih 500 mangsa cedera.

Rusuhan tersebut berlaku selepas pengadil perlawanan membatalkan gol penyamaan Peru pada minit terakhir perlawanan kelayakan Olimpik ketika menentang Argentina.

Di Malaysia, insiden pergaduhan turut berlaku pada Ogos lalu selepas provokasi melampau sekumpulan penyokong Perak yang didakwa menjadi punca kepada penyokong Kelantan ‘naik’ angin.

Sementara itu, Menteri KBS, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menegaskan, Malaysia seharus­nya mengambil iktibar kejadian rusuhan antara pasukan Arema FC dan Persebaya Surabaya di Stadium Kanjuruhan, Malang, Jawa Timur itu yang tercetus sehingga mengorbankan ratusan nyawa dan belajar bagaimana untuk mengelakkan insiden seumpama itu.

“Malaysia merakamkan ucapkan takziah kepada kerajaan Indonesia dan seluruh rakyatnya. Kita mendoakan agar mereka yang terkorban diampuni segala dosa dan dihimpunkan bersama orang-orang beriman dan beramal soleh,” katanya.

Rusuhan bola sepak di Indonesia tersebut bukan sekadar mengakibatkan kematian malahan 180 lagi cedera termasuk kanak-kanak yang kini dirawat di lapan buah hospital.

Justeru, penulis berharap sikap provokasi terutama di media sosial yang menyebarkan sifat kebencian harus dihentikan agar Malaysia dilindungi insiden tidak diingini. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI