fbpx

Liga Europa: Erik Ten Hag bakal buat rombakan besar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CASEMIRO (tengah) dijangka turun dalam kesebelasan utama United ketika mereka terbang ke Cyprus untuk berdepan Omonia awal pagi esok. – AFP

MANCHESTER – Kekalahan be­sar yang dialami ketika berdepan Manchester City pada aksi Liga Perdana Inggeris Ahad lalu mungkin menyebabkan beberapa rombakan dilakukan oleh Manchester United berdepan Omonia Nicosia pada aksi Liga Europa awal pagi esok.

Berdasarkan aksi di Etihad tempoh hari, Erik Ten Hag bakal membuat beberapa perubahan selain untuk memberi peluang pemain berehat apabila mereka bakal berdepan jadual padat selepas ini.

Apa yang pasti, Ten Hag tidak akan mengambil risiko untuk menyenaraikan Raphael Varane di bahagian pertahanan yang me­nyaksikan Victor Lindelof bakal disenarai bergandingan bersama Lisandro Martinez.

Persembahan yang mengecewakan dipamer Tyrell Malacia pada aksi menentang City tempoh hari juga mungkin akan menyebabkan Ten Hag merehatkannya dan membawa masuk Luke Shaw ke dalam kesebelasan utama semula.

Pada bahagian sayap juga bakal berlaku perubahan apabila Jadon Sancho hampir pasti diketepikan untuk memberikan peluang sama ada Anthony Elanga ataupun Alejandro Garnacho yang memiliki gaya permainan lebih pantas dan gemar melakukan hantaran terus.

Selain itu, Ten Hag juga mungkin akan merehatkan Christian Eriksen buat kali pertama selepas dia beraksi dalam kesemua perlawanan musim ini dengan pilihan untuk menggunakan khid­mat Fred ataupun Iqbal Zidane selain Casemiro hampir pasti akan menggantikan Scott McTominay.

Jentera serangan pula, Ten Hag mungkin akan bergantung kepada Cristiano Ronaldo ataupun Anthony Martial yang akan menggantikan Marcus Rashford, namun pengurus dari Belanda itu juga mungkin akan ‘me­nyimpan’ penyerang dari Perancis itu untuk aksi bertemu Everton nanti. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI