fbpx

Warga emas cedera kejar penyamun bermotosikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar CCTV insiden tersebut.

KLANG – Malang berganda menimpa seorang lelaki warga emas apabila cedera ketika mengejar dua individu bermotosikal yang melarikan beg miliknya di sekitar Jalan Kasuarina, Bandar Botanik di sini, kelmarin.

Kejadian pukul 10.25  pagi itu berlaku ketika mangsa berusia 66 tahun meletakkan beg di tempat duduk belakang kereta Toyota Vios di kawasan parkir pejabatnya.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kakitangan swasta itu didatangi dua lelaki menaiki sebuah motosikal yang berhenti berdekatan kereta tersebut.

“Salah seorang suspek kemudian turun membuka pintu kereta dan mengambil beg mangsa lalu melarikan diri dengan motosikal sama.

“Mangsa mengalami kecederaan akibat terjatuh ketika cuba mengejar suspek berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, siasatan mendapati suspek berpakaian jaket hitam dan topi keledar bercermin gelap.

“Mangsa mengalami kerugian RM350 iaitu sebuah telefon bimbit dan dokumen kerja yang berada dalam beg tersebut.

“Tiada sebarang senjata digunakan suspek dan terdapat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi kejadian,” ujarnya.

Kata Hoong Fong, polis sedang mempergiatkan usaha mengesan serta menangkap dua suspek berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu samun berkumpulan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-33762222 atau balai polis berdekatan,” katanya.

Berdasarkan rakaman CCTV berdurasi seminit itu memaparkan kedua-dua suspek seperti berpura-pura pergi ke sebuah kereta lain sebelum menghampiri dan menyamun mangsa yang bersendirian. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI