fbpx

Malaysia kekal ahli ICAO enam penggal berturut-turut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ka Siong.

PUTRAJAYA – Malaysia akhirnya berjaya mempertahankan kerusi ahli majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) bagi sesi 2022-2025 sekali gus mengekalkan penglibatan selama enam penggal berturut-turut.

Berita baik itu dikongsi Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Ka Siong bersama delegasi kini berada di Ibu Pejabat ICAO di Montreal, Kanada bagi menyertai menghadiri Persidangan ICAO ke-41.

Menurutnya, menerusi pemilihan yang dijalankan semalam, Malaysia telah memperoleh 136 undi.

“Kejayaan ini adalah hasil sokongan, kerja keras dan dedikasi yang telah ditunjukkan oleh Wakil Tetap Malaysia ke ICAO, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kanada, pegawai Kementerian Pengangkutan (MOT) dan pelbagai pihak lain.

“Malaysia akan terus memberikan komitmen berterusan kepada ICAO untuk mempertahan dan menegakkan aspek-aspek keselamatan penerbangan awam, inovasi dan kemapanan penerbangan global.

“Kami juga akan memanfaatkan kemenangan ini untuk kepentingan rakyat dan negara secara keseluruhannya,” katanya.

Pencapaian ini adalah kejayaan berganda buat Malaysia apabila penarafan keselamatan Kategori 1 dikembalikan semula Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) baru-baru ini.

Ia selepas CAAM memenuhi piawaian ditetapkan di bawah Penilaian Keselamatan Penerbangan Antarabangsa (IASA).

Pencapaian itu amat membanggakan negara sekali gus membolehkan Malaysia mendapat semua kelebihan diberikan kepada syarikat penerbangan, termasuk membuat penerbangan di laluan udara tambahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI