fbpx

Eropah hapuskan 48 juta unggas kawal wabak selesema burung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ayam ternakan dikurung di tempat tertutup akibat selesema burung di Barneveld, Belanda pada 23 Oktober 2020. – AFP

BRUSSELS, BELGIUM – Kira-kira 48 juta unggas dihapuskan  ketika Kesatuan Eropah (EU)  dan Britain dilanda wabak selesema burung  yang  paling buruk pernah direkodkan tahun lalu, lapor Badan Penyiaran Britain (BBC) kelmarin.

Angka itu direkodkan dari Oktober 2021 hingga 9 September lalu dan diterbitkan bersama  kelmarin oleh Pihak Berkuasa Makanan Eropah (EFSA), Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Eropah (ECDC) serta Makmal Rujukan EU untuk Selesema Burung.

Secara keseluruhan, sebanyak 47.7 juta burung dihapuskan selepas lebih 2,600  wabak selesema burung dikesan menjangkiti ternakan ayam dan unggas peliharaan lain sehingga 9 September lalu.

Laporan tersebut turut menunjukkan terdapat 3,573 penemuan kes selesema burung dalam populasi burung liar, dengan virus itu tercetus di 37 buah negara dari Svalbard hingga ke selatan Portugal dan  timur Ukraine.

Ketiga-tiga pihak terbabit turut memberi amaran bahawa angka tersebut tidak harus dipandang ringan.

Meskipun tiada kes  jangkitan antara manusia di direkodkan di rantau EU, terdapat satu kes jangkitan kepada manusia dikesan di barat daya England pada Januari lalu.

Pengarah ECDC, Andrea Ammon memberi amaran bahawa mereka yang bekerja dalam sektor pertanian dan haiwan berisiko tinggi terdedah kepada virus selesema burung dan menggesa majikan menambah baik langkah bio keselamatan serta penjagaan kesihatan.

“Kewaspadaan amat diperlukan untuk mengenal pasti jangkitan virus selesema  secepat mungkin dan memaklumkan penilaian risiko serta langkah kesihatan awam,” kata Ammon.

Dalam pada itu, EFSA berkata, Eropah mengalami krisis selesema burung terburuknya dengan kekuatan virus tersebut berkemungkinan menyebabkan jangkitan meluas pada musim akan datang.

Selesema burung lazim menyerang ketika musim luruh dan sejuk. Ia berjangkit menerusi najis burung liar yang berhijrah atau sentuhan secara langsung pada makanan, pakaian atau peralatan yang tercemar. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI