fbpx

Nestle umum Pelan Nescafe 2030

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sasaran Pelan Nescafe 2030 antara lain ialah mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 50 peratus.

PETALING JAYA – Nescafe, jenama kopi terbesar Nestle hari ini mengumumkan Pelan 2030 bagi menggalakkan pengeluaran kopi yang lebih lestari oleh petani, melibatkan pelaburan lebih satu billion Swiss francs (RM4.69 bilion) bermula sekarang hingga tahun 2030.

Ia antara lain termasuk langkah untuk menyokong peralihan petani kepada penanaman kopi regeneratif, seperti pelaksanaan program rintis skim sokongan kewangan di Mexico, Ivory Coast dan Indonesia untuk mempercepatkan peralihan kepada pertanian regeneratif.

Ketua Jenama Kopi Nestle, David Rennie berkata, perubahan iklim dunia meletakkan kawasan penanaman kopi di bawah tekanan.

“Menerusi Pelan Nescafe, kami mempercepatkan langkah untuk membantu menangani kesan perubahan iklim, selain menangani cabaran sosial dan ekonomi di sepanjang rantaian nilai Nescafe,” katanya.

Nestle memetik kajian Inter-American Development Bank, yang menjangkakan kenaikan suhu global bakal mengurangkan kawasan yang sesuai untuk penanaman kopi sehingga 50 peratus menjelang tahun 2050.

Selain itu, tinjauan Fairtrade Foundation menyebut sekitar 125 juta penduduk global bergantung kepada kopi untuk menyara kehidupan, manakala kajian TechnoServe menganggarkan 80 peratus daripada keluarga pekebun kopi hidup di bawah garis kemiskinan.

Philipp Navratil

Ketua Unit Perniagaan Strategik Kopi Nestle, Philipp Navratil berkata, sebagai jenama kopi terkemuka dunia, pihaknya mahu melihat petani kopi terus berkembang maju, serta menyasarkan untuk memberi impak sebenar kepada pertanian kopi global.

“Saya berpandangan pada hari ini, apa jua jenama termasuk Nescafe perlu menerapkan unsur kelestarian pada teras strategi mereka untuk mampu pergi lebih jauh.

“Kos bagi inisiatif kelestarian tidak semestinya akan dipindahkan kepada pelanggan, sebaliknya kami melihatnya sebagai satu bentuk pelaburan yang penting bagi pembangunan jenama ini dan masa depannya,” katanya pada sesi pelancaran global yang dilaksanakan secara maya hari ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI