fbpx

Muhammad Azeem tutup kelendar olahraga penuh gemilang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUHAMMAD AZEEM bergambar dengan papan digital menunjukkan catatan masa 100m yang direkodkannya pada Sukma 2022 bulan lepas.

CATATAN 10.09 saat (s) sebagai rekod baru 100 meter (m) kebangsaan menjadi pencapaian paling gemilang buat manusia terpantas Malaysia, Muhammad Azeem Mohd. Fahmi apabila menutup kelendar olahraga tahun 2022.

Jaguh pecut berusia 18 tahun itu kini diberikan rehat lebih dua hingga tiga minggu sebelum memberikan fokus kepada fasa conditioning sebagai persediaan awal memasuki musim baharu tahun 2023.

Perlumbaan terakhir Azeem menyaksikan dia mencapai sasaran peribadi dengan catatan bawah 21s dalam acara 200m apabila merakam masa 20.98s pada Piala Cabaran Olahraga di Niigata, Jepun kelmarin.

Raja pecut Sukan Malaysia (Sukma) 2022 itu konsisten dengan masa bawah 21s dan sudah tidak jauh dengan catatan peri­badinya iaitu 20.83s dalam misi meleburkan rekod 200m kebangsaan 20.77s.

Jurulatihnya, Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah melaungkan keyakinan Azeem mampu memadam rekod itu yang dilakukan oleh pelari negara berpangkalan di Australia, Russel Alexander Nasir Taib pada Mac 2019.

“Azeem mampu pecahkan rekod 200m kebangsaan pada tahun 2023. Keyakinan ini bergantung kondisi badannya dan berdasarkan prestasi semasanya tahun ini.

“Musim yang panjang dan mencabar untuk Azeem. Tiada lagi perlumbaan buat Azeem dan saya amat berpuas hati kerana catatan masanya konsisten.

“Dia berhak mendapat rehat yang secukupnya. Satu pengalaman yang berharga dalam proses menjadi pelari pecut lebih baik pada masa depan,” katanya.

Azeem sendiri berbangga dengan pencapaiannya tahun ini dan kini sudah tidak sabar untuk ‘terbang’ ke destinasi seterusnya iaitu Amerika Syarikat untuk menyertai salah satu universiti berkemungkinan Universiti Houston.

Secara keseluruhan, Azeem telah mengharungi 10 perlumbaan 100m dan 13 untuk 200m di peringkat domestik serta antarabangsa.

Terdahulu, Azeem mencetuskan sensasi apabila mencipta rekod 100m kebangsaan dengan catatan 10.09s pada Kejohanan Olahraga Remaja Dunia 2022 di Cali, Colombia baru-baru ini

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI