fbpx

Duda larikan motosikal, raba kekasih dijel 12 bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh diiiringi anggota polis selepas mengaku mencuri motosikal dan mencabul kekasihnya di Mahkamah Majistret Melaka, hari ini.

MELAKA – Tindakan seorang duda lima anak mencabul dan mencuri motosikal kekasihnya membawa padah apabila dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd. Khairil Rahmat, 44, yang mengaku bersalah sejurus dua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didapati dengan niat curang telah mencuri sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda kepunyaan Norazliza Mahat, 40, dianggarkan bernilai RM3,500 tanpa kerelaannya.

Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih tujuh tahun dan juga boleh dikenakan denda.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didapati telah mencabul mangsa sama dengan cara meraba keseluruhan badan tanpa kerelaan mangsa dan didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana daripada dua hukuman itu.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 11.30 pagi di sebuah rumah beralamat di Jalan Matahari 8 Fasa 2, Taman Paya Rumput Perdana dalam daerah Melaka Tengah di sini pada 22 Jun lalu.

Mengikut fakta kes, tertuduh telah pergi ke rumah mangsa pada hari kejadian untuk berbincang mengenai hutangnya dengan wanita terbabit berjumlah RM25,000.

Tertuduh bagaimanapun kemudian bertindak memegang mangsa dengan meraba di keseluruhan badan wanita itu termasuk dada dan kemaluan tanpa kerelaannya.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukuman penjara dikenakan dari tarikh dia ditangkap iaitu 24 Jun lalu kerana perlu menanggung lima orang anak dan bapa yang uzur.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri bagaimanapun memohon agar hukuman setimpal dikenakan bagi kedua-dua kesalahan itu.

Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan bagi setiap pertuduhan, namun memerintahkan ia dijalankan serentak dari tarikh tertuduh ditangkap. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN