fbpx
Lula (kiri) bersama isterinya melambai ke arah penyokong selepas menerima keputusan pilihan raya di Sao Paulo, kelmarin. - AFP

Bolsonaro, Lula bersaing di pusingan kedua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BRASILIA  – Pilihan raya Presiden Brazil menuju kepada pusingan penentu 30 Oktober ini selepas Jair Bolsonaro mengetepikan jangkaan dan kalah tipis kepada pemenang, Luiz Inacio Lula da Silva.

Lula selaku ahli politik veteran yang berusaha untuk kembali berkuasa, menang 48.3 peratus undi berbanding 43.3 peratus undi kepada Bolsonaro selepas lebih 99 peratus pusat pengundi menghantar keputusan masing-masing, demikian menurut Tribunal Tinggi Pilihan Raya.

Keputusan itu adalah di luar jangkaan untuk Bolsonaro dan penyokong parti berhaluan kanan.

Lula yang merupakan bekas Presiden Brazil dari 2003 hingga 2010, merupakan calon popular tetapi imejnya telah tercemar. Beliau menjadi calon pilihan untuk memenangi pilihan raya Presiden kali ini yang pada mulanya dijangka berlangsung satu pusingan sahaja.

Menjelang pilihan raya diadakan, firma undian Datafolha menyatakan bahawa Lula akan mencatat kemenangan dengan 50 peratus undi berbanding 36 peratus undi Bolsonaro.

Namun, keputusan sebaliknya berlaku dengan Bolsonaro, 67 dan Lula, 76, perlu berkempen selama empat minggu lagi sebelum pilihan raya pusingan kedua diadakan.

Sementara itu, di kem Bolsonaro, para penyokongnya meraikan keputusan tersebut.

“Saya sudah katakan. Datafolha tersilap sekali lagi,” kata anak lelaki Bolsonaro yang juga anggota Kongres, Eduardo dalam komennya di laman Twitter.

Di pihak Lula pula, pemimpin itu menerima keputusan tersebut, namun bertekad akan memenangi pengundian pusingan kedua. 

“Kita akan terus berjuang sehingga mendapat kemenangan,” katanya ketika berucap di hadapan beratus-ratus penyokong Parti Pekerja di sebuah dataran utama di Sao Paulo.

Lula berasal daripada keluarga miskin sebelum beliau menceburi politik dan menjadi Presiden Brazil paling popular dalam sejarah. Beliau berusaha untuk kembali ke arena politik selepas menjalani hukuman penjara 18 bulan berhubung kes rasuah. 

Lula dibenarkan bertanding dalam pilihan raya kali ini  selepas Mahkamah Agung membatalkan hukuman tersebut.  – AFP 

POPULAR