fbpx

Ada beza rockers dengan beruk – Awie Wings

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR –  Vokalis Wings, Datuk Awie menggesa penyanyi rock tidak menjadikan genre diperjuangkan sebagai lesen berkelakuan kurang sopan dengan alasan menjiwai persembahan.

Pemilik nama sebenar Ahmad Azhar Othman itu berkata, sebagai masyarakat Timur yang berpegang kuat kepada adat dan adab, seharusnya anak seni tempatan tidak membudayakan pelakuan kurang manis.

“Memang genre muzik rock itu keras selain memiliki kategori tertentu macam punk rock, death metal dan sebagainya, tetapi kita jangan jadi generasi tak bertamadun.

“Kita di Malaysia, membudayakan kelakuan yang tidak baik itu tak seharusnya diamalkan. Janganlah ambil yang negatif atau buat perkara aneh.

“Kalau berkelakuan aneh itu siapa? Sebenarnya banyak beza antara bintang rock dengan ‘beruk’. Kalau ‘beruk’, begitulah agaknya. Rockers tak begitu.

“Adab budaya kita orang Melayu sangat tinggi. Biadab itu bukan orang Melayulah. Kita ini walau rock macam mana sekali pun biarlah beradab,” katanya selepas sidang media Konsert Wings Naga Kramat di sini, hari ini.

Anak seni yang sudah hampir empat dekad adalam industri hiburan itu berkata demikian sebagai pesanan kepada penyanyi pelapis supaya tidak mudah terpengaruh dengan budaya luar.

Katanya, teguran juga perlu diluahkan andai ada dalam rakan seperjuangan melakukan kesilapan sebegitu supaya  kekhilafan yang tidak disedari dapat diperbetulkan.

Pada masa sama, Awie turut mengingatkan mana-mana penyanyi supaya tidak membawa masalah peribadi ke atas pentas.

“Saya sudah 37 tahun menyanyi. Kalau ada masalah peribadi, jangan kita ‘hentak’ di atas pentas dan biarkan orang tahu. Kalau kata mahu tunjuk ‘rebel’ bukan di hadapan penonton, nanti satu dunia tahu.

“Bukan tak boleh luah, tetapi zahirkan perasaan atau situasi tersebut menerusi penulisan lirik atau muzik. Berkaryalah selagi tidak mendatangkan mudarat. Karakter yang ada juga sudah cukup membangunkan band.

“Kasihanlah pada mak ayah yang melahirkan dan mendidik kita dengan adab, sopan, ajar mengaji dan belajar, tetapi tiba-tiba kita hancurkan dan jadi begitu, kenapa?” katanya.

Awie bagaimanapun berkatw, pesanan berhubung tatasusila, terutama di pentas persembahan itu tidak ditujukan kepada individu tertentu, sebaliknya turut menjadi ingatan kepada semua.

“Mungkin dia sedang tertekan, memendam rasa, bergaduh atau anak dia tak makan. Benda ini kita kena ambil kira permasalahan individu, tapi saya tak tuju kepada sesiapa kerana saya dulu pun pernah berada dalam situasi sebegini.

“Cuma bila saya fikir panjang, saya cakap ‘aku tak boleh jadi macam ini, kalau aku ikut perangai orang di depan aku ini, aku pun boleh jadi macam dia,” kongsinya lagi.

Sementara itu, mengenai Konsert Naga Kramat yang dijadualkan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur ada 22 Oktober ini, katanya sekitar 80 peratus tiket sudah ditempah peminat.

Mereka yang ingin mendapatkan tiket konsert anjuran MW Mega Production itu boleh melayari www.ticket2u.com.my/nagakramat untuk pembelian.

Harga istimewa RM169 ditawarkan kepada pelajar bagi kawasan berdiri Bujang Senang berbanding harga asal iaitu RM244, manakala tiket lain adalah RM274 (Amok), RM364 (Misteri Mimpi Syakila) dan RM574 (Taman Rashidah Utama). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI