TAMPIL dengan watak lelucon dalam dua buah filem terbaharunya cukup memberikan satu dimensi baharu buat pelakon berkaliber Zahiril Adzim.
Seperti lari daripada watak rutinnya, pelakon yang bakatnya tiada tolok tanding sekali gus meletakkan diri dalam kelas versatil dan tersendiri.
Dua naskhah lakonannya yang sedang hangat ditayangkan adalah Ada Hantu 2 arahan Hairul Azreen dan Cikgu vs Hantu hasil terbitan serta sentuhan, Liyana Jasmay.
Mengenali Zahiril, karakter serius atau thriller sangat sebati dalam dirinya.
Justeru bagi mencabar diri, ketika dihujani tawaran sebegitu, anak kelahiran Taiping, Perak itu tidak mahu berfikir panjang.

Sukarnya jadi kelakar
Bagi pemilik nama penuh Mohd Zahiril Adzim Mohd. Mokhtar, memegang kelakar bukan perkara mudah.
“Watak kelakar itu berat sebenarnya sebab saya jarang terlibat dengan naskhah genre komedi.
“Apabila jarang buat, kepala rasa berat sangat nak fikir cara untuk buat orang gelak.
“Walaupun sudah ada jalan cerita dan skrip, susah sebenarnya,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Sudah namanya anak seni, aktor berusia 38 tahun itu memberanikan diri menyahut cabaran tersebut atas kefahaman itulah tugasnya sebagai seorang pelakon.
“Saya bukan orang yang kelakar dan bila diberi kepercayaan begini, memang perlu cari idea-idea baharu bagi membantu merealisasikan misi ini.
“Sebagai seorang pelakon, memang kita perlu melaksanakan tanggungjawab diberi.
Lunaskan semua watak yang diberi dengan baik,” katanya lagi.
Ditanya sama ada akan terus aktif membintangi filem atau drama bergenre komedi, tanpa berfikir panjang Zahiril menjawab: “Jangan!”
Alasannya, kesukaran untuk melakonkan watak komedi sangat mencabar untuk individu yang bukan dilahirkan sebagai ‘kaki lawak’ sepertinya.

“Apabila sembang dengan kawan-kawan rasa kelakar tetapi ketika penggambaran, semuanya berbeza.
“Saya ada kebimbangan jenaka yang disampaikan tidak diterima, namun rezeki memang sukar dijangka.
“Apa pun sebelum terima sebarang tawaran, saya akan lihat dulu skrip dan jalan cerita.
“Saya tak akan terima tawaran yang tidak mampu lakukan,” ujarnya.
Dalam masa sama, aktor yang terkenal menerusi naskhah Juvana itu mengakui selektif dalam menerima sebarang tawaran.
Meskipun begitu, sifat selektif tersebut haruslah berpada-pada kerana perlu memikirkan kelangsungan hidup.
“Selektif saya memang berpada-pada sebab perlu fikir juga periuk nasi.
“Pegangan saya satu sahaja, seniman juga harus makan.
“Kadang-kadang ambil juga kerja yang lari sikit daripada pendirian demi kerja sebagai pelakon dan rezeki,” tuturnya.

Sutradara, kongsi ilmu
Melanjutkan bicara, pelakon yang pernah membintangi filem Bunohan itu turut memasang impian untuk bekerja di belakang tabir selaku pengarah.
“Saya memang mempunyai impian untuk menjadi pengarah dan kini sedang mengerjakan jalan ke arah itu.
“Sebab saya lihat pelakon baru ramai yang bagus dan teringin untuk arahkan mereka dan kongsi ilmu dimiliki.

“Saya tak mahu ilmu yang dimiliki dibazirkan begitu sahaja sebab anak saya belum tentu nak jadi pelakon nanti.
“Lebih baik saya beri ilmu ini kepada pelakon pelapis. Itu impian saya tetapi saya tidak akan sesekali keluar daripada gelanggang lakonan,” jelasnya.
Sempat berkongsi, dia juga sangat menggemari naskhah bertemakan kekeluargaan dan thriller.
“Saya suka jalan cerita yang sedih, tentang adik-beradik atau konsep kekeluargaan contohnya filem Bisik Pada Langit.
“Jika saya nak buat filem sedih, saya akan sentuh jiwa penonton sedalam-dalamnya.
“Kalau nak sedih, lakukannya sampai boleh buat penonton menangis, jangan sekadar di permukaan sahaja,” katanya mengakhiri perbualan.















