fbpx
DR. ZAHARUDDIN bergambar kenangan bersama Dr. Yusuf al-Qaradawi (duduk) yang pernah menjadi gurunya pada 11 tahun lalu.

Belasungkawa Dr. Yusuf al-Qaradawi: Perginya cendekiawan Islam terulung zaman ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PEMERGIAN cendekiawan Islam tersohor, Syeikh Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi ke negeri abadi sememangnya merupakan kejutan dan kehilangan besar buat masyarakat Islam di seluruh dunia.

Dijemput Ilahi pada usia 96 tahun di Doha, Qatar Isnin lalu, pemergian ulama rakyat dan intelektual umum ini mendapat penghormatan besar daripada penduduk Islam yang berduka.

Merupakan ilmuwan menguasai pelbagai cabang ilmu dengan menulis hampir 100 buku, beliau menghasilkan karya ilmiah bermutu tinggi sehingga menjadi rujukan (sama ada fatwa mahupun pandangannya) oleh para ulama di seluruh dunia.

Di Malaysia sendiri, beliau pernah dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa pada tahun 2009 atas jasa baktinya dalam dunia Islam, selain pelbagai anugerah yang diberikan daripada institusi lain.

Bukan itu sahaja, Allahyarham juga sangat masyhur dan dikenali menerusi program Sharia and Life terbitan saluran berita antarabangsa, Al-Jazeera yang dianggarkan ditonton 40 hingga 60 juta penonton di seluruh dunia.

Pun begitu, di sebalik kemasyhuran yang disebut-sebut itu, nama cendekiawan ini sebenarnya sudah lama dikenali umum sebelum kemunculannya di kaca televisyen.

Pemikirannya cukup terkenal dan popular di bumi Arab terutama menerusi naskhah kitab popular berjudul al-Halal wal-Haram (Yang Dibenarkan dan Yang Dilarang).

Bukan sekadar popular semata-mata, penulisan kitab itu diulang cetak lebih 40 kali dan diterjemahkan dalam pelbagai bahasa dunia.

PEMERGIAN Yusuf al-Qaradawi merupakan kehilangan besar buat masyarakat Islam dunia.

Memetik temu bual dengan portal arabmediasociety pada 2004, Yusuf al-Qaradawi berkata, dirinya membicarakan isu Islam secara terbuka selepas diberi peluang oleh stesen TV Qatar, sewaktu baru memulakan siaran.

Dari situlah dia semakin dikenali ramai, terutama dalam kalangan masyarakat Islam dunia.

“Semuanya bermula pada awal 1970-an, yang mana saya diberi peluang untuk menerajui program dikenali sebagai The Guidance of Islam. Ia merupakan cetusan idea pengarah penyiaran ketika itu, Mahmoud Sherif dan masih bersiaran sehingga kini setiap malam Jumaat.

“Menerusi program itu juga, untuk setiap negara Islam yang saya kunjungi baik Arab Saudi, Algeria, Maghribi, Jordan dan pelbagai lagi, mereka akan menjalankan rakaman program bersama saya,” katanya.

Beliau sendiri tidak sangka program tersebut akan menjadi begitu popular.

Dikenali ramai, umum menyedari kehidupan yang dilaluinya penuh berliku sejak kecil.

Menyingkap kisah hidup Dr. Yusuf al-Qadarawi, anak kelahiran Mesir ini menjalani kehidupan cukup sederhana.

Bapanya seorang petani, manakala keluarga ibunya pula terbabit dalam bisnes.

Dia menjadi yatim pada usia dua tahun selepas kematian bapanya dan bermula dari saat itulah, dia diasuh serta dididik oleh ibu dan bapa saudaranya.

CENDEKIAWAN ini dihormati segenap lapisan masyarakat di seluruh dunia dan sering diberi penghargaan dalam apa yang dilakukannya untuk kesejahteraan umat.

Beliau mula berusaha menghafaz al-Quran pada usia lima tahun dan berjaya menghafaz seluruh kitab suci itu dengan fasih pada usia 10 tahun. Bakat luar biasa dimilikinya itu menyebabkan beliau dilantik menjadi imam.

Beliau pernah dipenjara beberapa kali di negara asalnya, Mesir kerana didakwa terlibat dalam pergerakan Ikhwanul Muslimin yang dikaitkan dengan pembunuhan Perdana Menteri Mesir pada waktu itu.

Beliau kemudian lari ke Qatar pada tahun 1961 kerana mahu melarikan diri daripada penganiayaan terhadap anggota Ikhwanul Muslimin di Mesir.

Berhijrah sebagai guru, beliau bagaimanapun diberi kewarganegaraan Qatar oleh Emir Qatar ketika itu, Syeikh Ahmad Bin Ali Al Thani.

Sepanjang tempoh itu , beliau mula menerbitkan bahan ilmiah untuk pembaca Muslim yang lebih luas. Beliau menulis karya utama pertamanya, yang berjudul The Lawful and the Prohibited in Islam sebagai panduan umat Islam yang tinggal di Barat.

Gaya penulisan dalam buku-bukunya sangat mudah difahami kerana beliau menjauhkan diri daripada menggunakan bahasa manual perundangan Islam pramoden yang agak kabur.
Ini bagi memastikan setiap maksud yang ingin disampaikan mampu dibaca dan difahami segenap lapisan masyarakat.

Tatkala ditanya adakah dakwah menerusi kaca TV lebih berkesan berbanding penulisan, beliau menjelaskan, setiap media mempunyai kelebihan dan pengaruh tersendiri.

Katanya, buku membolehkan individu menyelidik idea diutarakan secara mendalam, selain menyusun sesuatu dan meletakkannya mengikut urutan, manakala kaca TV pula mempunyai capaian penonton sangat luas.

“Ada beberapa pendakwah yang boleh menggoncangkan mimbar, tetapi tidak boleh menulis.

“Sesetengah orang boleh menulis dengan baik, tetapi apabila meletakkan mereka di atas mimbar, mereka tergagap. Mereka tidak boleh membuat persembahan. Segala puji bagi Allah, saya bersyukur kerana dianugerahkan kedua-dua bakat iaitu menulis dan bercakap di khalayak ramai,” ujarnya.

Sepanjang hayatnya, Allahyarham telah menghasilkan lebih 120 buah buku termasuk naskhah berkaitan perundangan Islam serta menerima pelbagai pengiktirafan antarabangsa.

Memetik satu kenyataan, beliau dikatakan menghabiskan waktunya sehingga 14 jam sehari di perpustakaan rumahnya untuk menelaah dan menulis.

Dalam pada itu, berkesempatan berguru dengan ulama tersohor dunia ini pada tahun 2011, pakar kewangan Islam negara, Dr. Zaharuddin Abd. Rahman berkata, ia momen cukup bermakna buat dirinya.

Menceritakan detik-detik manis sekitar 11 tahun lalu, katanya, pada waktu itu, beliau terpilih menyertai program Pertemuan Syeikh Al-Qaradawi Bersama Murid dan Sahabat.

“Seringkali, ketika menelaah buku Syeikh Al-Qaradawi saya terfikir, alangkah ruginya jika hidup sezaman dengan ulama sehebat ini, tetapi melepaskan peluang untuk menuntut ilmu secara langsung dengannya.

“Terbayang betapa ruginya orang Islam yang sezaman dengan Rasulullah tetapi tidak berpeluang bertemunya, sezaman dengan Imam Shafie, Malik, Al-Bukhari dan lain-lain, tetapi tidak menuntut ilmu daripadanya,” katanya.

Berpeluang mendekati cendekiawan itu ketika hayatnya biarpun dalam tempoh singkat, Dr. Zaharuddin menyifatkan Allahyarham sebagai seorang bapa yang pengasih, guru penyayang dan mursyid yang amat menyenangkan.

Katanya, tidak dapat digambarkan hinanya jiwa mereka yang tanpa usul periksa dan mengetepikan sangka baik, sebaliknya mendahulukan sangka buruk menghentam Syeikh sebagai munafik, penyokong Yahudi dan sebagainya.

“Hasil pertemuan ini, saya dapat simpulkan ketinggian akhlak beliau.Dalam menyampaikan ilmu, adakalanya Syeikh sebak, terhenti kalam, khususnya apabila menyebut perihal Rasulullah dan perjuangannya.

“Syeikh juga sebak digelar Imam oleh anak muridnya, hingga adakalanya beliau melarang peserta memanggilnya Imam sewaktu mengajukan soalan.

“Sebaliknya beliau mendakwa masih anak murid seperti kami dan juga belajar daripada kami,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN