fbpx

Anwar henti tabur janji mansuh tol, PTPTN – Noh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Noh menyerahkan wang pendahuluan pinjaman PTPTN kepada penerima di IPP Tanjong Karang, hari ini

KUALA SELANGOR – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta menghentikan menaburkan janji politik apabila akan memansuhkan bayaran tol dan bayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi golongan B40.

Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, rakyat sudah bijak membuat penilaian menerusi pemerintahan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan sebelum ini.

“Beliau (Anwar) cukup-cukuplah memberi janji tidak serupa bikin dan bercakap kosong.

“Kita kini sudah tiga kali bertukar kerajaan termasuk di bawah PH yang tidak mampu menunaikan janji untuk memansuhkan bayaran tol dan PTPTN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di Institut Pengurusan Peladang (IPP), Tanjong Karang di sini, hari ini.

Pada program itu, seramai 223 penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dari Parlimen Tanjong Karang turut menerima sumbangan wang tunai bagi peringkat ijazah dan diploma.

Jelas Noh yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, agenda kerajaan ketika ini kukuh bagi membantu meringankan beban rakyat.

“Sebagai contoh, PTPTN  memperuntukkan RM100 juta untuk menyediakan geran khas kepada B40 dan bayaran percuma kepada mahasiswa yang memperoleh keputusan pengajian kelas pertama.

“Ini menunjukkan bahawa kita melaksanakan janji praktikal dan akan sentiasa menyalurkan bantuan atau subsidi kepada rakyat,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, UMNO dan Pas diminta terus berunding dan mengadakan perbincangan sekali gus membuat ketetapan terbaik mengenai masa depan Muafakat Nasional (MN). – KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI