fbpx
DR. ANUAR (tiga dari kanan) berbincang dengan kakitangan persiapan Konvokesyen TATIUC ke-22 di Kijal baru-baru ini.

TATIUC lahirkan teknokrat berkemahiran tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN – Kolej Universiti TATI (TATIUC) terus mengorak langkah sebagai institusi pengajian yang melahirkan ramai teknokrat berkemahiran tinggi dan kompeten dalam bidang kejuruteraan sejak 29 tahun penubuhannya.

Bermula sebagai Institut Teknikal Lanjutan Terengganu (TATI) sebelum dinaik taraf sebagai kolej universiti pada tahun 2007, TATIUC memfokuskan 70 peratus latihan praktikal dan kemahiran digital dalam silibus pengajiannya.

Rektor TATIUC, Prof. Dr. Anuar Ahmad berkata, graduan dari peringkat diploma hingga Ijazah Sarjana keluaran institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri Terengganu tersebut sentiasa mendapat permintaan tinggi dalam kalangan majikan.

“Berdasarkan kaji selidik, kebolehpasaran graduan TATIUC selepas menamatkan pengajian adalah 85 peratus walaupun sewaktu tempoh pandemik ­Covid-19.

“Ia tidak menghairankan kera­na pada majlis Konvokesyen TATIUC ke-22 pada Ahad ini (hari ini), seramai 11 peratus graduan bagi peringkat ijazah sarjana muda dan diploma layak mene­rima kelas pertama,” katanya ketika ditemui Kosmo! di kampus TATIUC di Kijal di sini baru-baru ini.

Anuar berkata, seramai 63 peratus graduan ijazah sarjana muda dan diploma TATIUC pula menamatkan pengajian pada kelas kedua atas.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu majlis konvokesyen yang bakal berlangsung di Dewan Canselor TATIUC ber­kenaan amat bererti kerana julung-julung kali kembali diadakan selepas tertangguh selama dua tahun.

“Majlis konvokesyen bagi sidang tahun 2020 dan 2021 tidak dapat diadakan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Perge­rakan (PKP).

“Alhamdulillah, ia melibatkan 561 graduan merangkumi tiga orang di peringkat sarjana, sarjana muda (279) dan diploma (279) walaupun sebahagian besar daripada mereka sudah berkerjaya,” katanya.

Anuar berkata, majlis konvokesyen yang akan dirasmikan Canselor TATIUC, Ir. Kamaluddin Abdul Rashid itu menawarkan tiga anugerah utama iaitu Anugerah Canselor, Anugerah Pengerusi dan Anugerah Rektor.

Tambahnya, seramai 24 pelajar terbaik bagi setiap program ijazah dan diploma masing-ma­sing juga akan menerima anugerah pada upacara berkenaan.

“Kita juga mengambil kesempatan untuk menghargai jasa bekas Canselor TATIUC, Allahyarham Tan Sri Dr. Wan Abdul Rahman Wan Yaacob yang baru meninggal dunia pada 2 Julai lalu.

“Anugerah khas buat Allahyarham dijadual disampaikan kepada balu beliau, Puan Sri Ailin Ton Isahak pada majlis konvokesyen berkenaan,” katanya.

Anuar berkata, Wan Abdul Rahman yang juga bekas Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) telah memainkan besar dalam kemajuan dan perkembangan TATIUC.

Beliau berkata, legasi Allahyarham sudah pasti akan dite­ruskan Canselor TATIUC baharu, Kamaluddin yang juga Ketua Pengarah JKR sebelum bersara pada tahun 2020. -KOSMO! ONLINE

POPULAR