fbpx
Saudara-mara dan kakitangan perubatan memindahkan seorang gadis yang cedera dari ambulans di luar hospital di Kabul kelmarin. - AFP

20 pelajar perempuan maut serangan bunuh diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KABUL – Seorang pengebom bunuh diri menyerang sebuah pusat pendidikan di ibu negara Afghanistan, Kabul kelmarin ketika beratus-ratus pelajar melakukan persiapan untuk menduduki peperiksaan universiti dalam tragedi yang meragut sekurang-kurangnya 20 nyawa, kebanyakan mereka ialah wanita muda.

Pengeboman berlaku di kejiranan Dasht-e-Barchi, barat Kabul yang didiami oleh majoriti pengikut Syiah. Mereka terdiri daripada masyarakat minoriti Hazara dan menjadi sasaran beberapa serangan paling berdarah di Afghanistan.

Pengebom menembak mati dua pengawal keselamatan sebelum masuk ke dalam bilik darjah yang berasingan jantina, kata seorang pelajar, Ali Irfani yang berjaya melarikan diri kepada agensi berita AFP.

“Tidak ramai budak lelaki yang menjadi mangsa letupan kerana mereka berada di bahagian belakang dewan. Pengebom itu masuk dari pintu hadapan tempat pelajar perempuan berada,” katanya.

Seorang saksi lain dikenali sebagai Akhbar berkata, pelajar wanita muda merupakan sebahagian besar mangsa, dengan sehingga 600 orang berada di dalam dewan pada masa itu.

Belum ada kumpulan mengaku bertanggungjawab atas letupan tersebut. Bagaimanapun, kumpulan Daesh mengaku bertanggung jawab mendalangi serangan sebelum ini di kawasan tersebut dengan menyasarkan gadis, sekolah dan masjid.

Seorang penduduk yang membawa mangsa ke hospital berkata, dia melihat cebisan anggota badan manusia bergelimpangan di lantai dewan.

“Ramai pelajar terkena serpihan di kepala, leher dan mata,” kata Asadullah Jahangir.

Jurucakap polis Kabul, Khalid Zadran berkata, 20 orang terbunuh dan 27 yang lain cedera.

Misi Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Afghanistan (UNAMA) memberitahu AFP bahawa sekurang-kurangnya 24 orang terbunuh dan 36 yang lain cedera dalam serangan itu, sambil menambah jumlah mangsa dijangka terus meningkat.

Taliban kembali berkuasa di Afghanistan pada tahun lalu yang menyaksikan insiden keganasan menurun dengan ketara tetapi keadaan keselamatan mula merosot sejak beberapa bulan lalu.

Pada April tahun, dua letupan bom pada hari yang sama di pusat pendidikan berasingan di Dasht-e-Barchi membunuh enam orang dan mencederakan sekurang-kurangnya 20 yang lain. – AFP 

POPULAR