fbpx

Gila pujian di media sosial sampai jadi murung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERLALU obses untuk mendapatkan pujian di media sosial boleh menyebabkan seseorang itu mengalami kemurungan. - GAMBAR HIASAN
NORLIDA AKMAR IDROS, WARTAWAN EKSEKUTIF

TIDAK dapat dinafikan bahawa penggunaan media sosial kepada masyarakat sangat penting, sehinggakan ada yang memperuntukkan sebahagian besar masa semata-mata untuk melayari Facebook, Instagram dan TikTok.

Medium komunikasi dalam talian itu digunakan untuk pelbagai perkara termasuklah bagi menambah kenalan, mengeks­presikan diri dengan cara memuat naik gambar dan video serta berkongsi pandangan.

Selain itu, media sosial juga menjadi medium kepada peniaga untuk mempromosikan produk masing-masing.

Namun, kebergantungan ter­hadap media sosial dalam kehidupan harian dikhuatiri me­nimbulkan masalah psikologi kepada masyarakat terutama golongan remaja.

Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019, sebanyak 2.3 peratus orang dewasa atau setengah juta orang mengalami kemurungan dengan prevalen tertinggi adalah di Putrajaya diikuti Negeri Sembilan, Perlis, Sabah dan Melaka.

Sementara 9.5 peratus kanak-kanak berusia 10 hingga 15 tahun pula dikesan mengalami masalah kesihatan mental.

Selain itu, sebanyak 85.5 peratus daripada 145,173 panggilan diterima agensi kerajaan sejak 25 Mac 2020 hingga 20 Mei 2021 adalah membabitkan isu kesihatan mental yang memerlukan sokongan emosi dan kaunseling seperti stres akut, keresahan, kemurungan, penderaan dan tingkah laku bunuh diri.

Pakar Perunding Psikiatri dan Psikologi Pusat Perubatan Kedah, Dr. Wan Mohd. Rushidi Wan Mahmud mengakui masyarakat terutama golongan remaja yang terlalu bergantung kepada media sosial berisiko mengalami gangguan jiwa dalam senyap.

Katanya, mereka dikatakan tertekan kerana terlalu mengharapkan pujian daripada rakan atau pengikut di alam maya tersebut, malah tidak kurang juga yang gagal mengawal emosi akibat kutukan.

“Selain itu, ada juga yang ke­rap membandingkan diri dengan individu lebih hebat yang dilihat di media sosial.

“Keadaan itu dibimbangi menyebabkan mereka cenderung mengalami gangguan jiwa seperti kecelaruan atau anxiety disorder yang mana boleh menyebabkan kemuru­ngan sekiranya tidak dirawat dengan betul,” katanya.

Lebih teruk katanya, kemurungan itu seterusnya mampu meningkatkan risiko untuk membunuh diri.

Setiausaha Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, kalangan remaja dan kanak-kanak di negara ini dilihat terlalu bebas melayari media sosial sehingga mendedahkan diri mereka kepada gangguan jiwa dan ancaman jenayah.

“Kalau dahulu, kita lihat ramai ibu bapa yang menyekat atau mengehadkan penggunaan gajet kepada anak-anak mereka terutama berkaitan media sosial.

“Namun, saya lihat normal asal itu itu sudah berubah apabila ramai kanak-kanak dan remaja diberi akses sepenuhnya untuk menggunakan media sosial secara bebas,” katanya.

Malah, katanya, ada dalam kalangan ibu bapa yang seakan-akan menyokong anak mereka yang masih kecil untuk menggunakan media sosial secara aktif.

“Ini sebenarnya tidak bagus untuk anak-anak muda kita, ­situasi itu menyebabkan mereka terdedah kepada masalah gangguan jiwa yang dikhuatiri menjadi lebih serius iaitu kecelaruan kemurungan seterusnya berisiko membunuh diri.

“Selain melibatkan kesihatan mental, mereka juga terdedah kepada ancaman jenayah apabila bebas berkongsi aktiviti harian di media sosial,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI