fbpx
Tangkap layar memaparkan tindakan seorang individu membuang sampah ke dalam sungai.

Video tular: Lelaki buang sampah dalam sungai ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang pemandu lori yang tular dalam sebuah rakaman video kerana tindakannya membuang sampah ke dalam sungai di Pontian sebelum ini telah ditahan bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, suspek yang berusia 50-an itu ditahan pada pukul 7 petang, semalam di sekitar bandar Pontian selepas pencarian dilakukan selama lima jam.

Menurut beliau, usaha pencarian turut dilakukan di kediaman suspek, namun tidak membuahkan hasil sebelum dia berjaya dihubungi untuk ditahan.

“Apabila ditemui dan ditahan, suspek terus dibawa ke Balai Polis untuk pemeriksaan serta siasatan. Ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah, namun semakan mendapati dia mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah,” katanya.

Semalam, tular satu video berdurasi 36 saat memaparkan seorang pemandu lori satu tan memberhentikan kenderaan itu di atas sebuah jambatan sebelum bertindak memikul dan membuang sampah ke dalam Sungai Wak Rabun, Batu 33, Pontian.

Tindakan lelaki tersebut dirakam orang awam sebelum rakaman itu dimuat naik di laman sosial Facebook sehingga turut mendapat perhatian Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Sehubungan itu, Kamarul Zaman memberitahu, Onn Hafiz kemudian menghubungi beliau dan meminta pihak polis membantu mengambil tindakan dengan segera.

“Saya kemudian mengarahkan Ketua Polis Daerah Pontian untuk mengambil tindakan bagi mengesan suspek. Suspek kemudian dibebas dengan jaminan polis selepas dirakam percakapannya diambil.

“Tindakan kompaun terhadap suspek dibuat mengikut Rule 52 LN 166/59 selain memandu tanpa lesen GDL. Perbuatan membuang sampah dari kenderaan adalah satu kesalahan dan boleh dihukum saman atau dikompaun sehingga RM2,000,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

POPULAR