fbpx
Gambar hiasan.

Mahkamah: Lelaki rogol anak kandung dalam lori didakwa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Seorang pemandu lori didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tiga pertuduhan merogol, melakukan persetubuhan luar tabii dan mencabul kehormatan anak kandung perempuannya bulan lalu.

Bagaimanapun, tertuduh yang berusia 55 tahun itu, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid.

Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, tertuduh sebagai bapa didakwa telah merogol, melakukan persetubuhan luar tabii dan mencabul kehormatan anak kandung perempuannya berusia 24 tahun di tempat duduk belakang sebuah lori, di Sungai Besi, di sini, antara pukul 2.30 petang hingga 3.30 petang, pada 18 September lalu.

Hukuman kesalahan merogol mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara minimum lapan tahun dan maksimum 30, selain dikenakan minimum 10 sebatan.

Kesalahan melakukan persetubuhan luar tabii pula di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun, selain boleh disebat.

Sementara bagi kesalahan mencabul kehormatan pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Noorhani Muhammed Ayub, tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh.

Ini kerana menurut pihak pendakwaan, pertuduhan hari ini ada kesalahan merogol anak kandung dan untuk keselamatan mangsa, jaminan tidak ditawarkan.

Bagaimanapun, peguam bela tertuduh, Mona Anak Leonard Lubon, memohon jaminan diberikan kepada anak guam atas alasan tiada potensi untuk melarikan diri dan memberi kerjasama penuh sejak ditahan polis pada Sabtu lalu.

“Anak guam juga berjanji tidak akan mengganggu mangsa walaupun anak kandung. Tertuduh juga setuju jika ada syarat tambahan dikenakan seperti melaporkan diri di balai polis, setiap bulan,” katanya.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan kes seterusnya pada 21 Oktober ini. – KOSMO! ONLINE

POPULAR