fbpx
Gambar hiasan

Gangguan seksual: Pensyarah UiTM ditamatkan perkhidmatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Seorang pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang didakwa melakukan gangguan seksual terhadap bekas penuntutnya sebelum ini telah ditamatkan perkhidmatannya berkuat kuasa serta-merta.

UiTM dalam kenyataannya memaklumkan penamatan perkhidmatan itu setelah prosedur soal siasat dan siasatan dalaman selesai, serta dimesyuaratkan di Jawatakuasa Tatatertib Peringkat Tertinggi UiTM.

Katanya, UiTM mengambil serius mengenai dakwaan gangguan seksual itu dan telah melakukan siasatan mengikut garis panduan serta proses perundangan yang termaktub dalam Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 [Akta 605].

“Tindakan tatatertib boleh diambil ke atas staf yang melanggar peraturan, tatakelakuan serta larangan-larangan yang terdapat dalam Akta 605 dan Peraturan UiTM.

“Unit Integriti UiTM telah menjalankan siasatan yang teliti bermula pada tahun lalu terhadap segala bahan bukti yang telah dikumpulkan sebelum sebarang kesalahan dapat dibuktikan dan jenis hukuman dapat ditentukan,” katanya.

Dalam pada itu, Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk. Ts. Dr Roziah Mohd. Janor menjelaskan warga universiti sentiasa diberi peringatan secara berkala perihal Akta 605 ini.

Tegas beliau, sekiranya ingkar perintah atau berkelakuan dengan apa-apa cara yang boleh ditafsirkan dengan munasabah sebagai ingkar perintah, pihak Universiti tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan keras sekiranya disabit kesalahan.

Kosmo! pada 18 Jun tahun lalu melaporkan UiTM telah mengarahkan jawatankuasa siasatan dalaman meneliti dan menjalankan siasatan terperinci berhubung dakwaan gangguan seksual dilakukan seorang tenaga pengajarnya kepada beberapa pelajar.

Malah sebuah portal hari ini turut melaporkan bekas siswazah itu kecewa belum ada tindakan undang-undang diambil terhadap pensyarah yang didakwa melakukan gangguan seksual terhadapnya.

Pensyarah tersebut juga didakwa menghantar notis mahu mengambil tindakan saman malu terhadapnya pada 6 September lalu.

Bekas siswazah itu menganggap tindakan itu diambil bagi menakutkannya setelah menolak tawaran RM20,000 daripada pensyarah itu kepadanya sekeluarga bagi menutup kes itu selepas membuat laporan polis di sebuah balai di Johor sebelum ini. -KOSMO! ONLINE

POPULAR