fbpx

5 bas ekspres kena saman tiada pemandu kedua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Beberapa anggota JPJ Pulau Pinang sedang memeriksa sebuah bas dalam satu operasi penguatkuasaan berhampiran Plaza Tol Juru, Bukit Mertajam, di sini malam tadi.

SEBERANG PERAI – Gara-gara tiada pemandu kedua bagi perjalanan melebihi 300 kilometer (km) atau selama empat jam secara berterusan, lima buah bas ekspres dikenakan saman dalam satu operasi penguatkuasaan berhampiran Plaza Tol Juru, di sini malam tadi.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook memberitahu, operasi yang menyasarkan bas ekspres itu berlangsung selama enam jam bermula kira-kira pukul 11 malam tadi.

“Tujuan penguatkuasaan ini dijalankan adalah untuk memastikan semua kenderaan perkhidmatan awam terutamanya bas ekspres mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya yang ditetapkan.

“Ini termasuk memastikan bas dalam keadaan baik dan selamat digunakan, pemandu mempunyai lesen memandu dan lesen memandu kenderaan perkhidmatan awam ( PSV ) yang sah serta pengusaha bas menyediakan pemandu kedua bagi perjalanan bas jauh atau lama menerusi pemeriksaan buku log pemandu,” katanya.

Dalam pada itu jelasnya, tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap pemandu serta pemilik yang tidak mematuhi peraturan Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Kaedah-kaedah di bawahnya dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

“JPJ Pulau Pinang komited untuk memastikan keselesaan dan kesejahteraan terhadap pengguna jalan raya selari dengan kempen ‘Pandu Cermat dan Sentiasa Selamat Sampai’ ke destinasi.

“Pada masa sama, komitmen ini juga bertujuan mengurangkan statistik kemalangan jalan raya terhadap kenderaan khususnya melibatkan pengangkutan awam,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI