fbpx

Status OKU tak halang hasilkan sejuta sampul surat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HAFIMAZATUL tekun menyiapkan sampul surat secara manual ketika ditemui di Bengkel Seri Sembilan di Rembau semalam.

SEREMBAN – Kekura­ngan diri tidak menghalang pekerja orang kelainan upaya (OKU) mencari rezeki sehingga mampu menghasilkan sejuta keping sampul surat dalam sebulan.

Pengurus Bengkel Seri Sembilan, Harunarrsheed Mohd. Ibrahim berkata, setiap pekerja OKU di bengkel itu dilatih terlebih dahulu sebelum diserap sebagai pekerja tetap.

“Bengkel ini mendapat kontrak daripada Kementerian Kewangan untuk menyediakan pesanan sampul surat pelbagai saiz daripada lebih 400 jabatan kerajaan di seluruh negara.

“Ini merupakan salah satu inisiatif untuk membantu golongan OKU menjana pendapatan sendiri,” katanya ketika ditemui di bengkel itu di Mambau di sini semalam.

Menurut beliau, walaupun menggunakan tenaga kerja OKU, aspek kualiti sentiasa diutamakan dan hasil jualan mencecah RM150,000 sebulan.

Ketika ini, terdapat seramai 28 pekerja OKU pelbagai kategori dengan rata-ratanya mempunyai masalah pembelajaran, pekak dan bisu berusia 18 hingga 64 tahun. Para pekerja terlibat menghasilkan sampul surat secara manual, mencetak logo dan pembungkusan.

Mereka dibayar mengikut jumlah sampul surat yang dihasilkan dan mampu menjana pendapatan sehingga RM1,200 sebulan.

Jelasnya, kos tempat tinggal, makan dan minum ditanggung pihak bengkel, malah pekerja turut menerima Elaun Pekerja Cacat daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Sementara itu, seorang pekerja, Hafimazatul Ashikin Kamaruddin, 31, dari Rompin, Pahang memberitahu, dia mampu menghasilkan 250 sampul surat dalam sehari walaupun mengalami kekurangan pada bahagian tangan.

“Sebelum diterima bekerja di sini, saya perlu menjalani temu duga dan pemeriksaan kesihatan serta fizikal bagi memastikan sampul surat dihasilkan berkualiti sekali gus elakkan pembaziran kertas.

“Saya bersyukur dapat be­kerja di sini dan mempu­nyai pendapatan sendiri. Selain itu saya dapat bina keyakinan diri dan belajar cara bergaul serta berkomunikasi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI