MELAKA – Tiga lelaki diberkas bersama-sama 3,000 liter minyak diesel bersubsidi haram bernilai RM165,000 di Kawasan Perindustrian Bukit Rambai, di sini semalam.
Kesemua suspek lelaki berusia 31 hingga 55 tahun itu ditahan dalam serbuan kira-kira pukul 2 petang itu oleh Pasukan Risik Batalion 6, Pasukan Gerakan Am (PGA).
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek diberkas ketika sedang memindahkan minyak diesel dari sebuah lori ke dalam sebuah tangki besi.
“Dua daripada suspek merupakan penjaga stor, manakala seorang lagi adalah pemandu lori bagi kegiatan minyak diesel haram ini.
“Hasil pemeriksaan kita mendapati lori tersebut membawa 3,000 liter minyak diesel, satu unit tangki besi dan pam serta beberapa peralatan lain dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM346,6000,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Ujarnya, sindiket tersebut menggunakan modus operasi sama iaitu membeli minyak diesel bersubsidi daripada stesen minyak sekitar Melaka sebelum menjualnya di pasaran industri pada harga yang lebih tinggi.
“Tangkapan dan rampasan ini berjaya memutuskan salah satu aktiviti sindiket penyeludupan minyak diesel bersubsidi di Melaka.
“Ketiga-tiga suspek akan disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 22(1) akta sama yang memperuntukan denda sehingga 100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














