fbpx
WAN SUKAIRI menunjukkan senarai sukan dan jumlah pingat yang dimenangi Kontinjen Terengganu pada Sukma MSN 2022 pada sidang akhbar di Kuala Terengganu sebentar tadi.

Terengganu azam rampas kejuaraan Sukma 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TERENGGANU melaungkan amaran untuk kembali bangkit merampas gelaran juara keseluruhan pada Sukan Malaysia (Sukma) 2024.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kontinjen negeri itu berada di landasan tepat setelah memenangi 64 pingat emas, 49 perak dan 55 gangsa pada edisi ke-20 yang telah melabuhkan tirainya pada Sabtu lalu.

Beliau berkata, keputusan itu adalah pencapaian terbaik pernah diraih Terengganu dalam sejarah penyertaan Sukma.

“Kita bukan sahaja berjaya mencapai sasaran bahkan telah melebihi sasaran diletakkan sebelum ini iaitu 57 pingat emas, 25 perak dan 40 gangsa melalui 334 acara sukan disertai.

“Lazimnya, pungutan 64 pingat emas sudah memadai untuk membolehkan mana-mana kontinjen muncul juara keseluruhan, namun Terengganu terpaksa akur di tempat kedua,” katanya pada sidang akhbar di Kuala Terengganu.

Wan Sukairi berkata, Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) akan membuat ‘bedah siasat’ dengan segera selain memulakan program latihan Sukma 2024 awal tidak lama lagi.

Tambah beliau, berdasarkan analisis, sebanyak 10 jenis sukan diklasifikasi sebagai sangat cemerlang iaitu pelayaran, kenu, pencak silat, tinju, angkat berat, gimnastik artistik, tenis, karate, sepak takraw dan bola sepak.

Tujuh jenis sukan pula dikenal pasti sebagai berjaya mencapai sasaran pingat emas iaitu sukan boling padang, memanah, muay thai, olahraga, wusyu, petanque dan akuatik.

“Bagi jenis sukan yang sangat cemerlang dan cemerlang ini, kita akan usahakan agar atlet-atlet mengekalkan momentum pingat emas pada Sukma 2024 kerana dua tahun itu tidak lama.

“Selain itu, skuad berbasikal, judo, e-sport, tenpin boling, badminton, bola jaring, golf, hoki, menembak, ragbi dan skuasy pula dianggap sederhana setelah menunjukkan prestasi kurang baik,” katanya.

Wan Sukairi berkata, atlet sukan-sukan berkenaan akan dikerah untuk meningkatkan prestasi melalui program fasa pertama yang akan dirangka MSNT dalam masa terdekat. – KOSMO! ONLINE

POPULAR