fbpx

Pengarah urusan warga Jepun ditemui mati tergantung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

SUNGAI PETANI – Seorang lelaki warga Jepun yang merupakan pengarah urusan sebuah syarikat ditemui mati dalam keadaan tergantung pada alang besi di sebuah kilang aluminium di Kawasan Perindustrian Ringan Sungai Tukang, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian daripada seorang lelaki kira-kira pukul 7.55 pagi, semalam.

“Si mati yang berusia 47 tahun ditemui tergantung pada alang besi dengan menggunakan tali nilon di tingkat bawah kilang.

“Jarak ketinggian dengan lantai kilang adalah kira-kira lima meter selain terdapat tangga bersebelahan si mati,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kata beliau, hasil temu bual bersama saksi kejadian mendapati lelaki warga asing terbabit merupakan pengarah syarikat dengan syarikat induk terletak di Jepun.

“Mangsa telah hampir 10 tahun bekerja dengan syarikat tersebut. Dia juga telah berkahwin dan mempunyai seorang anak yang berada di negara asalnya,” ujarnya.

Menurutnya, mangsa ada menceritakan tentang keadaan syarikat yang mempunyai masalah kewangan sejak dua tahun lalu.

“Siasatan lanjut di tempat kejadian tidak menemui sebarang unsur jenayah dengan beberapa sampel telah diambil bagi tujuan ujian lanjut,” ujarnya.

Tambahnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar dekat sini untuk dibedah siasat.

Mana-mana individu yang mempunyai masalah kemuru­ngan atau menghadapi tekanan boleh menghubungi Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Soko­ngan Psikososial (MHPSS) di 03-29359935 atau 014-3223392 atau Talian Kasih 15999/WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI