fbpx
Khairul mengakui tidak berpuas hati dengan prestasinya dalam larian sebenar final 100m di Stadium Afrosiab di Samarkand City, Uzbekistan kelmarin.

‘Pengalaman’ baharu Khairul Hafiz di Uzbekistan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEKAS pemegang rekod 100 meter (m) kebangsaan, Khairul Hafiz Jantan berdepan detik mengelirukan apabila terpaksa memulakan semula lariannya pada aksi final 100m Kejohanan Olahraga Asia Te­ngah kelmarin.

Khairul, 24, sudah memecut pantas sehingga jarak 80m sebelum dia diarahkan berhenti gara-gara tidak mendengar pistol kedua di­sebabkan false start yang dilakukan pelari Tajikistan, Favoris Muzrapov.

Pemenang pingat emas 100m Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 itu meminta tempoh beberapa minit untuk mengambil ‘nafas semula’, tetapi permintaannya tidak dilayan pegawai pertan­dingan.

Khairul mengakui, tidak berpuas hati dengan prestasinya dalam larian sebenar final 100m tersebut walaupun berjaya memenangi pingat perak pada aksi di Stadium Afrosiab di Samarkand City, Uzbekistan itu.

“Memang saya tak dengar langsung ketika false start berlaku sehinggalah ada petugas beri­tahu suruh saya berhenti. Saya fokus kepada lorong sendiri dan tinggal 20m lagi nak habiskan larian.

“Memang penat, kaki saya dah rasa kebas dan tak boleh paksa lagi. Saya minta rehat untuk beberapa minit, tetapi penembak tak benarkan dan mahu teruskan.

“Kalau ikutkan memang tak puas hati. Sebab saya sasarkan catatan masa dalam lingkungan 10.20 saat (s) ketika larian pertama semasa false start berlaku,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Bagaimanapun, Khairul memandangnya dari sudut positif kerana dia sendiri pernah me­ngalami false start dan dibatalkan penyertaan ketika final 100m Kejohanan Olahraga Asia 2017 di Bhubaneswar, India.

“Ia sudah berlaku dan saya anggap ini sebagai pengalaman baharu. Saya tak salahkan se­siapa, mungkin belum rezeki lagi,” jelas Khairul yang meraih perak dengan catatan masa 10.74s.

Pingat emas dimenangi seorang lagi pelari negara, Jonathan Nyepa dengan catatan masa 10.55s, manakala gangsa menjadi milik atlet Turkmenistan, Alisher Sadulayev (10.80s).

POPULAR