fbpx

Kes cubaan culik, JPNM tingkat keselamatan di sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rais (dua kiri) pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Dan Sesi Perkongsian Melaka Smart Grid Technology Summit 2022 di Hotel LaCrista, Melaka, hari ini. - FOTO/ AMRAN MULUP

MELAKA – Jabatan Pendidikan Negeri Melaka (JPNM) akan mengadakan mesyuarat khas bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) susulan isu kes penculikan kanak-kanak yang dilaporkan berlaku di beberapa negeri lain, baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Teknologi negeri, Datuk Rais Yasin berkata, perjumpaan itu akan dilaksanakan pada minggu hadapan bagi membincangkan langkah proaktif yang boleh dilaksanakan di peringkat sekolah.

“Apa-apa pun langkah pencegahan ini sebenarnya perlu dimulakan di rumah iaitu sebelum ibu bapa menghantar anak ke sekolah.

“Namun, dari pihak JPNM, kita akan mengadakan satu mesyuarat bersama PIBG bagi membincangkan kaedah-kaedah yang sesuai untuk meningkatkan tahap keselamatan para pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Dan Sesi Perkongsian Melaka Smart Grid Technology Summit 2022 di Hotel LaCrista, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, bagaimanapun setakat ini Melaka tidak merekodkan sebarang kes berkaitan jenayah itu.

“Kejadian ini tidak berlaku di Melaka, setakat ini belum ada kes. Meskipun begitu, kerajaan negeri tetap memandang serius risiko yang ada dan akan melaksanakan langkah berjaga-jaga,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan dakwaan kes cubaan culik kanak-kanak yang berlaku di beberapa negeri sehingga mencetuskan kebimbangan orang ramai mengenai keselamatan anak masing-masing.

Semalam, seorang bapa di Pasir Puteh, Kelantan turut mendakwa anaknya nyaris diculik oleh empat lelaki tidak dikenali yang mengajak kanak-kanak itu menaiki sebuah kereta semasa berada di depan sekolah di Selising.

Kejadian dikatakan berlaku kira-kira pukul 4.30 petang semasa kanak-kanak berusia lapan tahun itu sedang menunggu ibunya untuk menjemput pulang dari sekolah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI