fbpx

Tentera Russia didakwa rogol, seksa kanak-kanak Ukraine – PBB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang askar Russia meronda di Mariupol pada 12 April lalu. – AFP

KIEV – Siasatan pakar undang-undang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendapati tentera Russia memperkosa dan menyeksa kanak-kanak Ukraine, melaksanakan hukuman mati dan melakukan jenayah perang lain, lapor saluran berita NBC News kelmarin.

Suruhanjaya Siasatan Bebas Antarabangsa yang ditubuhkan oleh PBB untuk menyiasat situasi perang melaporkan penemuan mengerikan itu di Geneva. Ia mengemukakan senarai panjang penderaan dan kekejaman di empat wilayah Ukraine.

“Berdasarkan bukti yang dikumpul oleh suruhanjaya ini, ia membuat kesimpulan bahawa jenayah perang telah dilakukan di Ukraine,” kata pengerusi suruhanjaya, Erik Mose kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB.

Mose yang merupakan seorang hakim Norway berkata, suruhanjaya itu mendokumentasikan kes di mana kanak-kanak diperkosa, diseksa dan dikurung secara tidak sah.

“Terdapat kes di mana saudara-mara terpaksa menyaksikan jenayah itu. Dalam kes yang kami siasat, usia mangsa keganasan seksual dan jantina adalah antara empat hingga 82 tahun,” tambahnya.

Kanak-kanak juga terbunuh dan cedera dalam ‘serangan sewenang-wenangnya’ oleh tentera Russia menggunakan senjata letupan.

Menurut Mose, beliau dan rakan sekerjanya terkejut dengan penemuan bilangan besar hukuman mati di kawasan yang mereka lawati.

Suruhanjaya itu sedang menyiasat hukuman mati di 16 bandar dan penempatan selain mempunyai dakwaan yang boleh dipercayai mengenai banyak lagi kes sedemikian yang didokumentasikan, katanya.

Kes-kes hukuman mati itu mempamerkan penahanan mangsa serta tanda-tanda hukuman yang boleh dilihat pada mayat seperti tangan diikat di belakang, luka tembakan di kepala dan kerongkong.

Bagi penduduk Ukraine yang ditahan secara tidak sah, saksi-saksi memberi laporan konsisten mengenai layanan buruk dan penyeksaan oleh tentera Russia. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI