fbpx

Lebih 800 badan sukan telah dibatalkan pendaftaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Razim (kiri) dan Hatta pada sidang akhbar sempena Program Anti-rasuah Pengurusan Bantuan Dana Kerajaan Kepada Badan Sukan 2022 di ibu pejabat SPRM, Putrajaya.

PUTRAJAYA – Lebih 800 badan sukan di seluruh negara telah dibatalkan pendaftarannya oleh Pesuruhjaya Sukan Malaysia (Pjs) sejak Januari hingga 31 Ogos lalu selepas dikesan tidak lagi bergerak aktif.

Ketua Penolong Pjs, Hatta Mohd. Yasin berkata, tindakan pembatalan pendaftaran tersebut dibuat selepas kegagalan badan-badan sukan berkenaan manghantar laporan aktiviti tahunan mereka.

“Setakat Ogos lalu kira-kira 828 badan sukan telah dibatalkan pendaftaran mereka berikutan soal tadbir urus selain ada yang didapati tidak menghantar laporan dalam tempoh masa lebih tiga tahun.

“Sejak Akta Pembangunan Sukan 1997 atau Akta 576 diperkenal dan dikuatkuasakan pada 1998, sehingga September 2022, terdapat 12,263 badan sukan yang telah didaftarkan dengan Pejabat Pjs,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Program Anti-rasuah Pengurusan Bantuan Dana Kerajaan Kepada Badan Sukan 2022 di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, hari ini.

Ujar beliau, kesemua 12,263 badan sukan berdaftar itu terdiri daripada 223 badan sukan peringkat kebangsaan, 1,496 badan sukan peringkat negeri, 1,701 badan sukan peringkat daerah dan 8,843 di peringkat kelab.

Dalam perkembangan lain, Hatta memaklumkan bahawa kelemahan tadbir urus badan-badan sukan tertentu boleh menyumbang kepada penyalahgunaan kuasa termasuklah penyelewengan dana yang sepatutnya digunakan untuk pembangunan sukan negara.

“Pengurusan badan sukan adalah secara sukarela oleh individu yang telah dipertanggungjawabkan oleh ahli-ahli dalam badan sukan setelah dipilih untuk menjawat jawatan-jawatan tertentu.

“Bagaimanapun, badan-badan sukan ini terdedah kepada ketidakaturan pemegang jawatan sehingga boleh menjurus kepada perlakuan penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan dalam dana yang diterima dari kerajaan.

“Pemberian dan bantuan oleh kerajaan ini, jika tidak dikawal melalui penguatkuasaan yang ketat mampu menjurus kepada penyelewengan dan salah guna kuasa dalam persatuan sukan oleh individu tertentu demi kepentingan peribadinya,” ujar beliau.

Pada masa sama, Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Razim Mohd. Noor berkata, rasuah dalam industri sukan itu memang wujud termasuklah salah guna kuasa melibatkan dana.

“Jadi bagi mereka yang tamak atau sebagai cara mudah nak dapatkan duit akan mengakibatkan dana berkenaan tidak sampai kepada kumpulan sasaran.

“Ada dimaklumkan oleh wakil Pjs bahawa terdapat kelemahan-kelemahan dalam tadbir urus persatuan sukan berkenaan yang menyebabkan rasuah mudah berlaku, jadi kita membantu dalam memperkemaskan sistem dan prosedur dalam operasi harian mereka,” katanya.-KOSMO! ONLIN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN