fbpx

Harimau Malaya naib juara Piala Raja Thai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MALAYSIA terpaksa akur tewas menerusi penentuan sepakan penalti kepada Tajikistan selepas seri tanpa jaringan pada final Piala Raja Thai sebentar tadi. - FAM

KUALA LUMPUR – Harimau Malaya terpaksa gagal menjulang Piala Raja Thai apabila tewas 0-3 kepada Tajikistan menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat tanpa jaringan dalam aksi final sebentar tadi.

Kekalahan di Stadium 700th Anniversary, Chiang Mai itu meleburkan hasrat skuad kebangsaan untuk menamatkan penantian selama 44 tahun sejak kali terakhir memenanginya pada edisi 1978.

Dalam aksi babak pertama, kedua-dua pasukan bermain lebih berhati-hati tanpa banyak melakukan asakan berbahaya berdasarkan faktor permukaan padang yang licin disebabkan hujan lebat.

Sebaliknya, dua insiden kekecohan antara pemain lebih mencuri tumpuan dalam tempoh 45 minit pertama itu bermula dengan pertelingkahan antara Brendan Gan dan penjaga gol Tajikistan, Rustam Yatimov.

Skuad negara bernasib baik apabila pemain naturalisasi pertama, Mohamadou Sumareh tidak dilayangkan kad merah apabila melakukan terjahan keras ke atas pemain Tajikistan pada minit ke-45.

SUMAREH terlepas menerima kad merah walaupun melakukan banyak kekasaran dalam aksi babak pertama menentang Tajikistan di Chiang Mai sebentar tadi. – FAM

Mujur pengadil perlawanan, Wiwat Jumpaoon masih memberikan peluang kepada Sumareh apabila hanya memberikan amaran memandangkan pemain sayap itu sudah pun menerima kad kuning sebelum itu.

Bersambung babak kedua, ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon enggan mengambil risiko apabila mengeluarkan Sumareh dengan membawa masuk bintang sensasi Terengganu FC, Faisal Halim.

Kemasukan Faisal ternyata mengubah rentak Harimau Malaya yang hampir-hampir berjaya membuka tirai jaringan, namun percubaan cantik Safawi Rashid berjaya diselamatkan Yatimov pada minit ke-57.

Penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed wajar mendapat pujian kerana banyak menyelamatkan gawang skuad negara daripada beberapa percubaan berbahaya Tajikistan selepas itu.

MUHAMMAD Akhyar Abdul Rashid (kiri) beberapa kali berjaya memecahkan benteng pertahanan Tajikistan dalam aksi babak pertama. – FAM

Harimau Malaya sekali lagi bernasib baik apabila jaringan Rustam Soirov pada minit ke-85 dibatalkan pengadil perlawanan selepas penjaga garisan mendapati penyerang Tajikistan itu berada dalam kedudukan ofsaid.

Bagaimanapun, tuah kali ini tidak memihak buat skuad negara apabila tiga pemain, Dion Cools, Muhammad Nazmi Faiz Mansor dan Muhammad Safawi Rasid gagal menyudahkan penentuan sepakan penalti.

Ia sekali gus memberikan kemenangan buat Tajikistan selepas Vahdat Hanonov, Komron Tursunov dan Rustam Sirov yang berjaya menyudahkannya menewaskan Syihan dalam penentuan itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI