fbpx
KATA Azira Shafinaz, buat masa ini dia belum berpunya dan bahagia hidup solo.

Tiada hubungan istimewa dengan Sharnaaz – Azira Shafinaz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Pelakon yang juga penyanyi Azira Shafinaz mengakui masih berkawan baik dengan aktor Sharnaaz Ahmad dan hubungan mereka tidak lebih sekadar sebagai rakan selebriti.

Kata Azira, tiada apa-apa hubungan mesra apatah istimewa antara dirinya dan bekas suami kepada kakak selebriti popular, Neelofa itu dan mereka selesa bersahabat hingga ke hari ini.

“Jujur saya katakan sekarang ini saya single (solo) dan happy (gembira) dengan hidup begini.

“Tiada sebarang hubungan istimewa antara saya dengan Sharnaaz sebelum ini dan kami masih berkawan baik seperti kebiasaan,” katanya sekali gus meleraikan tanda tanya netizen yang mendakwa hubungannya dengan Sharnaaz sudah menemui titik noktah.

Pada masa sama, Azira atau nama sebenarnya Azira Shafinaz Ramlan, 31, lega apabila tiada lagi gosip cinta yang mengaitkan dirinya dengan mana-mana lelaki termasuk Sharnaaz.

Jelas pelakon drama Pia itu lagi, dia bukanlah seorang wanita yang suka dengan kontroversi dan mengakui lebih selesa jika kisah peribadi tidak diperkatakan umum.

“Lega rasa apabila tiada lagi cerita sebegitu. Mungkin orang mahukan sesuatu, tetapi saya bukanlah seorang yang suka dengan kontroversi.

“Apa yang keluar dari mulut saya itulah yang benar,” katanya ketika ditemui pada sidang media filem lakonan terbaharunya, Talbis Iblis di Panggung Asia, Gombak baru-baru ini.

Tambah anggota kumpulan DeFam itu, dia juga kini terbuka untuk bercakap soal jodoh seandainya perkara tersebut sudah tiba tepat pada masanya.

“Memang ramai pun yang sudah mula bertanya soal jodoh, namun fokus saya sekarang lebih kepada kerjaya. Apa boleh buat kalau jodoh belum sampai.

“Ada yang cuba mahu dekat tetapi belum ada yang istimewa. Kawan biarlah ramai, bercinta hanya satu. Doakanlah saya bertemu jodoh segera okey.

“Kalau mencari seseorang biarlah yang boleh terima saya dan keluarga seadanya dan yang paling penting lelaki itu hormat kerja saya kerana tak semua boleh faham kerjaya ini,” ujarnya.

Terdahulu, nama Azira acap kali dikaitkan mempunyai hubungan istimewa dengan Sharnaaz apabila mereka sering dilihat mengadakan sesi siaran langsung bersama dalam media sosial.

Sejak tahun lalu, khabar angin mengenai hubungan cinta antara dia dengan pelakon filem Jebat itu bertiup kencang dalam media sosial selepas Sharnaaz kerap meninggalkan komen ala-ala romantik dalam Instagram Azira.

Bagaimanapun, kedua-duanya menafikan dakwaan tersebut dan sehingga kini menjelaskan hubungan mereka hanya sebagai kawan. – KOSMO! ONLINE

POPULAR