fbpx
Pelancong asing berjalan melalui terminal ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi di Bangkok pada 1 Julai lalu. - AFP

Boleh melawat Thailand walaupun positif Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK – Kerajaan Thailand akan memansuhkan keperluan untuk mengemukakan bukti vaksinasi atau sijil ujian Covid-19 oleh pelancong luar negara bermula 1 Oktober ini, lapor laman berita Thaiger kelmarin. 

Perubahan itu diumumkan oleh Menteri Kesihatan Awam, Anutin Charnvirakul selepas menghadiri mesyuarat bersama Jawatankuasa Penyakit Berjangkit Kebangsaan kelmarin.

Dalam pertemuan sama, jawatankuasa berkenaan membuat keputusan bahawa individu yang mengalami gejala ringan Covid-19 atau tidak bergejala tidak lagi perlu untuk menjalani prosedur kuarantin.

Menurut Anutin, jawatankuasa itu memutuskan untuk mentakrifkan semula Covid-19 sebagai penyakit berjangkit di bawah pengawasan. Langkah kawalan baharu akan diguna pakai untuk semua penduduk tempatan, pelancong  dan orang yang dijangkiti.

Langkah baharu itu termasuk menasihati orang yang dijangkiti Covid-19 untuk terus memakai pelitup muka dan kerap mencuci tangan selain mengamalkan penjarakan sosial selama lima hari. Selepas tempoh itu, keperluan untuk menjalani ujian Covid-19 juga dimansuhkan.

Peraturan baharu itu dipersetuju ketika ketua pengarah Jabatan Kawalan Penyakit menyimpulkan bahawa gejala Covid-19 semasa kelihatan tidak teruk dengan ramai pesakit hanya menunjukkan simptom ringan seperti selesema.

Akan tetapi, pesakit berkemungkinan perlu mematuhi dasar kawalan penyakit khusus di tempat kerja mereka yang lebih ketat.

Kerajaan Thailand merancang untuk beralih ke era pasca pandemik dengan pegawai-pegawai kesihatan menyifatkan situasi Covid-19 dalam negara adalah lebih kepada endemik dan bukan lagi pandemik.

Dua hari lalu, Kabinet Thailand mengeluarkan virus Covid-19 daripada senarai penyakit terlarang dalam kalangan orang asing dengan membenarkan pelawat memasuki negara itu walaupun dijangkiti virus tersebut.

Mereka yang mempunyai tahap ‘berbahaya’ untuk penyakit kusta atau batuk kering, kaki gajah bergejala, sifilis tahap tiga dan penyakit berkaitan penyalahgunaan dadah masih dilarang memasuki Thailand, begitu juga orang yang ketagih minum alkohol. 

Jurucakap kerajaan, Anucha Burapachaisri berkata, kira-kira lima juta pelancong telah tiba di Thailand sepanjang tahun ini, manakala satu juta daripada mereka tiba pada bulan ini sahaja. Kerajaan meletakkan sasaran 10 juta pelancong asing memasuki Thailand untuk 2022. -AGENSI

POPULAR