fbpx
Tertuduh diiringi anggota polis selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Melaka, hari ini.

Pelayan restoran berdepan penjara 20 tahun raba budak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA – Seorang pelayan restoran didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan, minggu lalu.

Tertuduh, Sunil Kumar, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan cara meraba punggung seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 3.30 petang di The Shore Residences, Jalan Persisiran Bunga Raya dalam daerah Melaka Tengah pada 12 September lalu.

Sabit kesalahan, tertuduh yang merupakan warga India boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman sebat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, N. Sivashangari tidak menawarkan sebarang jaminan, manakala tertuduh yang diwakili peguam Pang Wan Si merayu jaminan rendah dibenarkan dengan alasan hanya berpendapatan RM1,500 sebulan.

Mahkamah bagaimanapun menolak rayuan tersebut dengan mengambil kira permit kerja tertuduh telah tamat pada 18 September lalu dan perlu mengemukakan bukti memperbaharui permit kerja dikeluarkan Jabatan Imigresen Malaysia.

Pihak pembelaan turut diarahkan untuk mengemukakan rekod pergerakan keluar dan masuk tertuduh selain status permohonan lanjutan kerja yang perlu dikemukakan dalam tempoh dua minggu.

Nariman kemudian menetapkan tarikh 17 Oktober ini sebagai sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

POPULAR