fbpx
Onn Hafiz

Johor laksana akta Anti Lompat Parti, tunggu kelulusan Majlis Raja-Raja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU – Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan pentadbiran beliau akan memerangi sebarang fitnah dan tohmahan dibuat mana-mana pihak yang bertujuan untuk mencalar imej negeri Johor secara keseluruhan.

Menurut beliau, itu merupakan antara tanggungjawab beliau selaku pemimpin yang diamanahkan.

“Hari ini, pembangkang membuat dakwaan bahawa kerajaan negeri menolak untuk melaksanakan akta Anti Lompat Parti, sedangkan yang kita tolak adalah penubuhan jawatankuasa.

“Ini kerana perkara itu telah diluluskan di Dewan Negara dan turut mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, proses seterusnya adalah perkara itu akan dibincangkan dalam Majlis Raja-Raja.

“Johor, kita jelas tidak mahu katak-katak politik ini, namun kita tidak mahu mendahului kuasa raja-raja. Jadi Johor akan ikut perjalanan proses tersebut dan apabila ia lulus di peringkat Majlis Raja-Raja, sudah boleh dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Kelab Media Johor yang diadakan di Hotel Grand Paragon, semalam.

Semalam, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad dilaporkan berkata tiada keperluan sebuah jawatankuasa pilihan khas peringkat negeri untuk menjalankan kajian dan cadangan Enakmen Anti-Lompat Parti ditubuhkan.

Hal itu kerana enakmen berkenaan sudah diwartakan dan ditetapkan tarikh kuat kuasa dengan setiap Dewan Negeri mempertimbangkan pemakaian enakmen tersebut.

Sehubungan itu, Onn Hafiz yang juga merupakan penaung kelab berkenaan menegaskan beliau dan barisan exco negeri akan melawan fitnah dan tohmahan khususnya yang dibuat pembangkang secara habis-habisan. – KOSMO! ONLINE

POPULAR