fbpx

Geng Batam guna jampi serapah pecah kereta diberkas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

MELAKA – Polis berjaya memberkas empat lelaki warga Indonesia digelar Geng Batam yang dipercayai menggunakan jampi serapah dan tangkal dalam kegiatan pecah cermin kereta di sekitar daerah ini, minggu lalu.

Kesemua suspek berusia antara 22 hingga 24 tahun itu dicekup oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah dalam serbuan di Senai, Johor Bahru, Johor pada 14 September lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, hasil pemeriksaan di lokasi menjumpai barang-barang digunakan suspek yang mempunyai kalimah jampi serapah.

“Kita percaya suspek menggunakan kalimah jampi serapah sebagai tangkal atau pendinding bagi mengaburi perbuatan jenayah mereka.

“Kesemua suspek ini adalah warga Indonesia dan disyaki telah aktif melakukan jenayah pecah cermin kereta sejak sejak awal bulan ini,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, kumpulan tersebut didapati bergerak menggunakan kenderaan yang disewa di Johor dan bergerak ke Melaka untuk melakukan kegiatan tersebut.

“Mereka mensasarkan kenderaan yang mempunyai barang berharga ditinggalkan di dalam kereta dan memecahkan cermin menggunakan serpihan seramik daripada palam pencucuh.

“Dengan kejayaan tangkapan ini, pihak polis berjaya menyelesaikan sebanyak lapan kes jenayah pecah cermin kereta yang dilaporkan berlaku dalam daerah Melaka Tengah,” katanya.

Katanya, kesemua suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI