fbpx

Bekas bapa mentua Jasmin Hamid meninggal dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PERKONGSIAN Jasmin Hamid dalam Instagramnya yang memaklumkan pemergian bekas bapa mentua, Johari Macquistan semalam.

PETALING JAYA – Biarpun sudah lebih 10 tahun berpisah dengan bekas suami, namun pelakon Jasmin Hamid tetap menjalin hubungan yang baik dengan keluarga lelaki itu termasuk bapa mentuanya, Johari Macquistan.

Sehinggakan ketika bekas bapa mentuanya itu menghembuskan nafas terakhirnya semalam, Jasmin mengendalikan semua proses menguruskan jenazah allahyarham.

“Allah Maha Baik. Setahun Allah beri saya peluang untuk berbakti kepada Johari Macquistan. Terima kasih Allah.

“Meskipun arwah adalah bekas bapa mentua saya dari perkahwinan pertama, tetapi dia tetap ayah saya sehingga akhirat kerana kami tak batal wuduk,” ujar Jasmin.

Menurut pelakon itu dalam sebuah video dalam Instagram, arwah bapa mentuanya meninggal dunia akibat sakit tua pukul 11 pagi semalam.

“Khamis pagi hujan lebat seperti petanda kesedihan yang akan kami hadapi. Sebelum zuhur, saya terima panggilan bahawa Dad (panggilan untuk arwah) sudah tiada.

“Saya minta izin suami untuk tolong uruskan jenazah Dad. Syukur alhamdulillah, rezeki Dad dan semua urusan berjalan lancar dan cepat sehingga ke liang lahad,” katanya lagi.

Jasmin terlebih dahulu memaklumkan tentang pemergian bapa mentuanya itu yang berusia 87 tahun menerusi hantaran berbeza dalam Instagramnya semalam.

Menerusi perkongsian tersebut, pelakon drama Saat Kau Takluk Cinta Ini itu memuat naik video memaparkan dia dan anaknya, Ian Haziq mengiringi keranda jenazah allahyarham di dalam van jenazah.

“22 September 2022. Akhirnya dia pulang menemui Penciptanya tadi. Terima kasih pada kalian yang memanjatkan doa untuk beliau. Semoga kita semua sentiasa dalam rahmat dan kasih sayang Allah,” tulisnya.

Tahun lalu, pelakon berusia 47 tahun itu pernah memuat naik hantaran tentang cabaran menjaga bapa mentuanya itu yang menderita Alzheimer.

Untuk info, Jasmin berkahwin dengan bekas suaminya, Ian Rashid Macquistan namun berpisah pada 2008.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Ian Haziq yang kini sudah berusia 21 tahun.

Pelakon itu juga mempunyai dua orang anak angkat iaitu Lukhman Hakim dan Rohana yang dijaga sejak kecil.

Dramatis itu kemudian menamatkan zaman solonya dengan mendirikan rumah tangga buat kali kedua bersama pengurus sendiri, Nazmir Abd. Rahim, 36, pada 19 November tahun lalu. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI