fbpx

Tujuh individu dilantik jadi penasihat SPRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azam (dua kiri) dan Abu Zahar bersama Ahli Panel Perundingan Dan Pencegahan Rasuah (PPPR) SPRM yang baharu dilantik, Azizan (kiri); Borhan (dua dari kanan) dan Dr. Asma (kanan).

PUTRAJAYA – Bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Borhan Dolah merupakan salah seorang daripada dua individu yang dilantik semula sebagai ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR).

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi kenyataan akhbar hari ini berkata, Borhan dilantik sebagai Pengerusi PPPR berkuatkuasa 1 Julai 2022 sehingga 30 Jun 2024 bersama enam ahli PPPR lain.

Menurutnya, empat ahli PPPR adalah lantikan baharu, manakala seorang lagi telah dilantik pada 1 April lalu.

“Mereka adalah Naib Pengerusi Eksekutif, Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB), Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din; bekas Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Datuk Dr. Asma Ismail dan Pengarah Pusat Dialog Peradaban Universiti Malaya, Prof. Datuk Dr. Azizan Baharuddin.

“Ahli lain adalah Gabenor Institut Tabdir Urus Korporat Malaysia (MICG), Datin Yasmin Ahmad Merican; Penasihat Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod serta Pengasas dan Pengerusi Al-Ikhsan Sports Sdn. Bhd., Ali Hassan Mohd. Hassan,” katanya.

Katanya, kesemua individu dilantik terdiri daripada golongan profesional yang diyakini dapat membantu SPRM dalam mencapai matlamat mewujudkan masyarakat yang membenci rasuah di pelbagai sektor.

SPRM berkata, antara peranan ahli PPPR ialah menasihati SPRM bagi meningkatkan keberkesanan aktiviti pemeriksaan dan perundingan terhadap amalan, sistem dan tatacara kerja di sektor awam dan swasta yang membuka ruang dan peluang perlakuan jenayah rasuah.

“Selain itu, PPPR turut berperanan menasihati SPRM bagi meningkatkan keberkesanan aktiviti pendidikan masyarakat ke arah meningkatkan kesedaran tentang jenayah rasuah dan sokongan terhadap usaha pencegahan rasuah.

“Dalam pada itu, PPPR juga berperanan menasihati SPRM bagi meningkatkan keberkesanan aktiviti pencegahan rasuah melalui mekanisme pengukuhan integriti dalam sektor awam dan sektor swasta,” katanya.

Katanya, PPPR juga menasihati SPRM tentang amalan-amalan baik dalam bidang berkaitan pelaksanaan aktiviti perundingan dan pencegahan rasuah.

Jelasnya lagi, PPPR juga berperanan membantu SPRM sebagai ‘key communicator’ dalam meraih sokongan masyarakat, pihak media dan sektor-sektor yang dikenal pasti terhadap usaha-usaha pencegahan yang dilaksanakan oleh suruhanjaya tersebut.

Surat cara pelantikan PPPR itu telah disampaikan Pengerusi LPPR, Tan Sri Abu Zahar Ujang sambil diiringi oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, hari ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI