fbpx

Syahida si ratu kayak Sukma MSN 2022 sedia bersara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SELEPAS berjaya meraih tiga emas dan memecah rekod kebangsaaan sebanyak empat kali, ‘Ratu’ kayak Sukan Malaysia (Sukma) 2022, Syahida Asyiqin Rusli mungkin mengambil keputusan untuk bersara meskipun umurnya baru berusia 18 tahun.

Sudah pasti ia satu kerugian besar bagi negara untuk melepaskan atlet berbakat itu untuk diserapkan menjadi atlet kebangsaan memandang Malaysia mempunyai misi besar musim depan terutama Sukan SEA di Kemboja.

Atlet kelahiran Terengganu itu mengakui keputusan untuk bersara awal daripada sukan tersebut mungkin diambil memandangkan dia mahu memberi fokus penuh kepada pelajaran selepas ini.

“Saya sebenarnya sangat berpuas hati dengan persembahan pada temasya ini. Malah, saya juga tidak jangka mampu melakar kejayaan macam ini memandangkan ia Sukma pertama saya.

“Bagaimanapun, mungkin saya tidak akan meneruskan karier saya dalam kayak secara kompetitif selepas ini. Mungkin saya akan bersara selepas berakhirnya Sukma ini.

“Sebab rancangan saya selepas ini adalah untuk sambung belajar dalam jurusan pendidikan awal kanak-kanak di Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernetics pada tahun ini.

“Namun, sekiranya saya dapat peluang yang mana saya boleh seimbangkan antara belajar dan bersukan, mungkin saya akan pertimbangkan. Sebab bagi saya pelajaran paling penting ketika ini,” katanya ketika ditemui semalam.

Kelmarin, Syahida mencipta sensasi apabila terus menampilkan aksi cemerlang selepas menambah dua kilauan pingat emas dalam sukan kayak temasya Sukma MSN 2022.

Pada aksi di Kompleks Sukan Air Putrajaya, Syahida berjaya mengungguli acara K1 200 meter (m) dengan catatan masa 47.315 saat (s) dan K2 200m (46.365 s) dengan kedua-duanya berjaya memperbaharui rekod kebangsaan.

Ini bukan kali pertama Syahida berjaya memperoleh emas serta memecahkan rekod kebangsaan memandangkan dia turut memecah empat rekod kebangsaan dalam acara K1 1,000m (4:24.494s), K1 500m (2:8.362s) K1 200 (47.315s) dan K2 200m (46.365s).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI