fbpx

Polis gempur 21 bengkel motosikal di Pulau Pinang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Soffian (gambar) ketika pemeriksaan di sebuah bengkel motosikal di Tanjung Bungah. - Foto IQBAL HAMDAN

GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang melancarkan serbuan ke atas 21 bengkel motosikal di daerah Timur Laut, Barat Daya dan Seberang Perai Selatan (SPS) hari ini selepas dipercayai terlibat dengan pengubahsuaian motosikal tanpa lesen bagi aktiviti lumba haram.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, serbuan tersebut antara langkah yang diambil pihak polis dan agensi terlibat bagi mengekang aktiviti lumba haram di negeri ini.

”Menerusi hasil siasatan polis, kesemua bengkel ini dikenal pasti terlibat dalam aktiviti lumba haram dan digunakan oleh kumpulan lumba haram dan samseng jalanan.

”Siasatan terhadap bengkel-bengkel ini dijalankan susulan ekoran insiden kemalangan di Lebuh Raya Tun Lim Chong Eu Julai lalu dan ini adalah salah satu inisiatif dalam usaha bagi memastikan Pulau Pinang sifar lumba haram,” katanya selepas mengadakan operasi bersepadu ke atas bengkel motosikal di Tanjung Bungah, di sini hari ini.

Soffian (gambar) ketika pemeriksaan sebuah bengkel motosikal. – Foto IQBAL HAMDAN

Operasi tersebut turut melibatkan agensi lain antaranya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Menurut Soffian, dua buah bengkel motosikal termasuk sebuah bengkel yang mempunyai mesin ‘dyno lab’ bagi tujuan meningkatkan keupayaan jentera motosikal turut diserbu polis di Tanjung Bungah.

”Menerusi pemeriksaan lanjut, kita mengesyaki dua bengkel ini terlibat dalam kegiatan mengubah suai motosikal sama ada untuk kegiatan lumba motosikal secara sah atau secara haram.

”Antara kesalahan lain yang dikesan adalah tidak mempunyai lesen perniagaan yang sah,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, pihak polis turut menjumpai tiga buah motosikal dipercayai diubah suai tanpa kebenaran dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut untuk siasatan lanjut.

”Kita akan kesan pemilik motosikal ini bagi soal siasat untuk memastikan mengapa motosikal tersebut diubah daripada spesifikasi asal.

“Selain itu, kita juga mengesan motosikal dan rangka yang ditinggalkan di bengkel ini, kita jalankan pemeriksaan dari segi rekod bagi melihat sama ada pernah dilaporkan hilang atau seumpamanya,” jelasnya lagi.

Tambahnya, dalam operasi tersebut, JPJ turut mengeluarkan tiga notis kepada pemilik bengkel-bengkel tersebut kerana menjalankan pengubahsuaian tanpa lesen yang sah. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI