fbpx
Kakitangan LUAS sedang mengesan bau bahan asing di Sungai Gong semalam.

LUAS kesan bau diesel di Sungai Gong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Skuad Pantas Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) pada pukul 8.30 malam semalam telah menemukan bau seakan diesel di kawasan Sungai Gong.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata, pensampelan LUAS menunjukkan bacaan 2 ton di kawasan berkenaan.

“Jarak lokasi pencemaran bau dikesan ke muka sauk loji rawatan air (LRA) terhampir iaitu muka sauk LRA Rantau Panjang adalah 20 km. Pihak Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. ( Air Selangor ) telah siap siaga dengan pencegahan bagi sebarang kemungkinan di muka sauk.

“Siasatan LUAS dilakukan di sekitar kawasan yang mempunyai aliran masuk ke dalam sungai .
Hasil siasatan menemukan beberapa lokasi aliran dengan bacaan bau sekitar 1 ton,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Loy Sian berkata, LUAS juga mendapati terdapat penemuan bau seakan diesel di kawasan hulu Sungai Gong yang berkemungkinan dari kawasan premis industri .

Walau bagaimanapun katanya lagi, siasatan bersama Air Selangor juga mendapati terdapat sisa minyak diesel ke dalam saliran longkang sebuah stesen minyak di kawasan Taman Bayu Permai.

“Pensampelan di lokasi berkenaan dilakukan dan akan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) untuk analisis.

“LUAS mengambil tindakan pencegahan awal dengan meletakkan satu unit oil boom di outlet Kolam Takungan Sungai Gong Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), serta empat beg ‘activated carbon’, empat unit ‘oil boom’ dan lima unit ‘oil pad’ di saliran longkang stesen minyak berkenaan untuk memerangkap minyak dan nyah bau,” katanya.

Kakitangan LUAS sedang mengesan bau bahan asing di Sungai Gong semalam.

Dalam masa  sama ujarnya, LUAS telah siap siaga untuk melakukan pengepaman air dari kolam – kolam alternatif di Bestari Jaya ke sungai bagi tujuan ‘flushing’ untuk meningkatkan kadar pencairan di dalam sungai dan seterusnya nyah bau .

Beliau menambah, penggunaan teknologi ‘Bio remediation’ bagi tujuan pemuliharaan juga diaplikasikan di kawasan – kawasan yang terjejas.

“LUAS telah mengeluarkan arahan kepada premis terlibat berdasarkan Seksyen 121 (1) Enakmen LUAS 1999 untuk mengalihkan apa – apa bahan pencemar yang berpotensi mencemarkan aliran air sungai serta melaksanakan pembersihan segera agar pencemaran tidak berulang.

“LUAS juga memantau rapi kawasan terlibat melalui pensampelan bau di Stesen Statik di Jambatan Glomac untuk mengesan perubahan bau di dalam Sungai Gong. Berdasarkan rekod, sehingga kini tiada henti tugas LRA dilaporkan oleh pihak Air Selangor,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Kerajaan Negeri Selangor tidak akan berkompromi dengan mana – mana pihak yang melakukan jenayah pencemaran sumber air dan tindakan tegas akan diambil selaras peruntukkan Enakmen LUAS 1999.

Kerajaan Negeri Selangor dan LUAS katanya lagi, menyeru kepada semua agar prihatin terhadap aktiviti yang berpotensi menyumbang kepada pencemaran sumber air negeri terutamanya dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada LUAS untuk diambil tindakan segera. – KOSMO! ONLINE

POPULAR

BERITA BERKAITAN