fbpx

Lelaki tawar khidmat jadi ‘kambing hitam’ kesalahan trafik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suspek menawarkan khidmat mengaku kesalahan lalu lintas yang dilakukan pemandu lain dan memastikan rekod pelanggannya bersih tanpa sebarang denda. – Unsplash

MADRID, SEPANYOL – Pihak berkuasa Sepanyol baru-baru ini memberkas seorang lelaki yang mengaku melakukan kesalahan memandu bagi pihak hampir 100 individu lain demi mendapatkan wang dalam usaha memastikan rekod pemanduan pelanggannya kekal bersih, lapor laman berita Oddity Central semalam.

Pengawal Awam bagi Kepulauan Balearic berkata, pihaknya menahan seorang lelaki keturunan Armenia yang mengiklankan  perkhidmatan luar biasa itu secara online.

Lelaki yang identitinya tidak didedahkan itu menawarkan khidmat mengaku kesalahan lalu lintas yang dilakukan pemandu lain dan memastikan rekod pelanggannya bersih tanpa sebarang saman.

Dia mengenakan bayaran antara €75 hingga €200 (RM336 hingga RM897) bagi setiap mata yang ditolak daripada lesen memandunya.

Kegiatan suspek mula dihidu pada pertengahan 2021 apabila Pengawal Trafik Awam Mallorca menyiasat satu insiden di mana seorang penunggang motosikal ditahan untuk melakukan ujian pernafasan.

Ketika ditahan, lelaki tersebut didapati ada melakukan beberapa kesalahan berbeza.

Bagaimanapun, selepas polis  mengeluarkan notis saman terhadapnya, seorang lelaki berketurunan Armenia dilaporkan muncul dan mendakwa bahawa dia merupakan pesalah kepada semua kesalahan lelaki berkenaan.

Selepas disiasat, polis mendapati bahawa suspek tidak mempunyai lesen motosikal, tiada mata memandu yang sah serta tidak berada di Mallorca pada hari penunggang motosikal berkenaan disaman.

Siasatan lanjut mendedahkan bahawa lelaki Armenia itu mengaku membuat beberapa kesalahan trafik selain lesen memandunya telah digantung.

Dalam semua kes, suspek mengaku menjadi penunggang pada motosikal yang didapati ada melakukan  kesalahan trafik, meskipun nama pemilik kenderaan adalah individu lain.

Selain itu, polis turut mendapati bahawa suspek mengiklankan perkhidmatannya sebagai ‘kambing hitam’ kepada orang lain yang melakukan kesalahan memandu.

Menurut sumber Pengawal Awam, suspek telah membantu tidak kurang daripada 91 orang dari seluruh Sepanyol setakat dia ditahan. – Agensi 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI