fbpx

Latihan kecemasan Perisai Panthera berjalan lancar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pasukan AFRS memberikan bantuan kecemasan kepada penumpang 'pesawat' yang 'meletup' sewaktu latihan kecemasan lapangan terbang berskala penuh kendalian MAHB di Terminal KLIA2.

SEPANG – Latihan kecemasan lapangan terbang berskala penuh atau Perisai Panthera kendalian Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) di Terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) di sini hari ini berjalan dengan lancar.

Situasi bermula apabila terdapat ‘letupan’ membabitkan pesawat Padu Airlines yang menggunakan sebuah bas dan membawa puluhan penumpang.

Babak tersebut memaparkan sebahagian penumpang terperangkap di dalam ‘pesawat’ dan mengalami kecederaan sebelum mereka diberi bantuan kecemasan serta-merta oleh Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang (AFRS).

Penumpang yang cedera kemudiannya segera diselamatkan dan dialihkan dari kawasan kemalangan dan ditempatkan di sebuah kawasan lapang termasuk mangsa yang menggunakan kerusi roda.

Lebih 770 kakitangan daripada 33 agensi kerajaan dan swasta terlibat menjayakan simulasi fizikal itu yang mengambil masa hampir dua jam bermula kira-kira pukul 12 tengah hari.

Selain AFRS, agensi lain yang turut terlibat dalam latihan kecemasan berkenaan adalah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Kementerian Kesihatan.

Pengarah Urusan MAHB, Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata, latihan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha untuk memperkukuh kesediaan dan daya tahan lapangan terbang dalam mengurus sebarang krisis atau situasi kecemasan.

Menurut beliau, sebagai pengendali lapangan terbang negara, MAHB menjalankan latihan sedemikian setiap tahun di seluruh negara bagi memastikan kesediannya yang berterusan.

“Latihan tiga hari itu terdiri daripada beberapa siri bengkel, latihan ‘table-top’ dan skala penuh situasi bencana udara yang berpotensi.

“Para peserta berpeluang mengukuhkan penyelarasan, keupayaan dan kecekapan mereka mengikut prosedur didokumenkan dalam Pelan Kecemasan Aerodrome (AEP) yang juga menyediakan input untuk penambahbaikan selanjutnya,” katanya.

Kata beliau, pelbagai senario diuji sepanjang latihan tiga hari berkenaan di mana peserta menilai kemahiran mereka dalam menguruskan krisis termasuk menjawab sebarang perbualan dalam talian yang berlaku.

“Komunikasi berterusan dan strategi perkongsian dalam kalangan semua pihak berkepentingan penting dalam meningkatkan kesediaan apabila bertindak balas terhadap krisis atau sebarang ancaman keselamatan.

“Latihan ini adalah manifestasi komitmen kami dalam menjaga kepentingan dan infrastruktur negara,” ujarnya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI