PADANG BESAR – Ramai rakyat negara ini memilih untuk melancong di Hatyai, Thailand pada hujung minggu dan cuti sekolah kerana di situ membeli-belah dan makanan enak dijual pada harga yang murah berbanding destinasi pelancongan popular dalam negara ini.
Malah, negara Gajah Putih itu juga dikatakan menawarkan bilik hotel tiga bintang pada harga murah meskipun terletak di tengah pusat bandar seperti di Hatyai.
Selain itu, kemudahan pengangkutan yang mudah dan murah serta jaringan jalan raya yang selesa menjadi antara faktor ramai rakyat kita berpusu-pusu ke sana.
Tiket tren ulang-alik State Railway of Thailand (SRT) dari Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Padang Besar, Perlis ke Hatyai, Thailand hanya pada harga 50 baht atau kira-kira RM6 sehala.
Seorang penduduk dari Kangar, Perlis, Muhammad Ekmal Hakim Abdullah, 29, berkata, dia memang gemar melancong ke Thailand kerana lebih jimat dan mudah.
Berita berkaitan: Ramai pilih melancong di Thailand kerana bajet rendah
“Saya biasa masuk Thailand dengan kereta atau motor bersama rakan. Memang seronok ke sana sebab lebih meriah dan banyak tempat pelancongan menarik, selain harga sangat murah.
“Nak makan lauk sedap tetapi dengan harga murah, memang Thailandlah tempatnya. Saya dan empat kawan hanya dikenakan harga kurang RM200 untuk hidangan yang bagi saya sudah tahap mewah,” katanya.

Ujarnya, dia biasanya membayar penginapan hotel pada harga kira-kira RM100 semalam.
“Malah, bagi hotel lebih RM100 biasanya ada disediakan tab mandi beserta sarapan. Jika di Pulau Langkawi, sudah pasti harga bilik hotel standard itu lebih RM300,” katanya.
Kosmo! pada Isnin lalu melaporkan keghairahan rakyat Malaysia memilih untuk bercuti di Thailand menjejaskan industri pelancongan negara termasuk di Langkawi apabila kedatangan pelancong ke pulau peranginan itu semakin menyusut.
Berita berkaitan: Rakyat serbu Thailand, Langkawi pula suram
Tinjauan di media sosial pula mendapati, orang ramai memilih Thailand sebagai destinasi pelancongan disebabkan kos penginapan, pengangkutan dan makanan yang sangat murah di situ.
“Kenapa ramai bersesak ke Thailand? Pergi Hatyai je cukup, akan rasa macam tiap minggu nak pergi. Hotel murah, makan murah dan sedap. Industri pelancongan mereka memang betul-betul hidup,” kata seorang pengguna Twitter, @myjoe_.
“Berjalan dekat sana lebih seronok. Murah pun murah, contohnya RM15 masuk kedai serbaneka di Thailand boleh beli macam-macam. Di Malaysia, tak banyak boleh dibeli dengan RM15,” kata seorang lagi pengguna dikenali sebagai Han.