fbpx

Mahkamah: Najib, anak dibenar gantung tuntutan cukai RM1.7 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Najib (kiri) dan Nazifuddin.

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan di sini hari ini, membenarkan permohonan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan anaknya, Datuk Nazifuddin untuk menggantung pelaksanaan perintah mahkamah berhubung tuntutan tunggakan cukai tertunggak berjumlah RM1.7 bilion.

Keputusan itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersidang bersama-sama Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Rhodzariah Bujang selepas membenarkan penangguhan sehingga pelupusan rayuan berhubung perintah tersebut.

Dalam prosiding hari ini keputusan itu dibuat pada prosiding yang dijalankan melalui aplikasi Zoom.

Pada Julai 2020, dua Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk memasukkan penghakiman terus bagi mendapatkan semula tunggakan cukai sebanyak RM1.69 bilion daripada Najib dan RM37.6 juta daripada Nazifuddin, bagi tempoh antara 2011 dan 2017.

Najib dan Nazifuddin gagal dalam rayuan mereka di Mahkamah Rayuan pada September 2021 bagi mengetepikan penghakiman terus itu.

Sementara itu, peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee ketika dihubungi memberitahu, pengurusan kes bagi rayuan penghakiman terus itu telah ditetapkan pada 22 September ini (esok).

“Pada pengurusan kes itu, mahkamah akan tetapkan tarikh pendengaran rayuan itu,” katanya.

Pada 10 Mei lalu, Najib dan Nazifuddin diberi kebenaran untuk meneruskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan LHDN memasukkan penghakiman terus itu bagi mendapatkan semula lebih RM1.7 bilion cukai tertunggak daripada mereka.

Kebenaran itu diberikan selepas Najib dan anaknya itu berjaya memenuhi keperluan Seksyen 96(a) dan (b) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Najib dan Mohd. Nazifuddin merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang dikeluarkan pada 22 dan 6 Julai tahun lalu oleh Hakim Datuk Ahmad Bache dan Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim.

Pada 25 Jun 2019, kerajaan menerusi LHDN memfailkan saman terhadap Najib menuntut beliau membayar RM1.69 bilion bagi cukai pendapatan yang belum dibayar, kadar faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

LHDN, melalui kerajaan Malaysia juga memfailkan writ saman terhadap Mohd. Nazifuddin pada 24 Julai 2019, mendakwanya masih belum membayar cukai untuk tahun taksiran dari 2011 hingga 2017 berjumlah RM37,644,810.73 seperti yang dinyatakan melalui notis taksiran bertarikh 15 Mac 2019. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI