Oleh DR. NORFAEZAH MD. KHALID
PERINGKAT perkembangan yang dilalui kanak-kanak menjadikan mereka lincah dan aktif dalam kehidupan seharian.
Anak-anak ini kelihatan seolah-olah tidak pernah kehabisan tenaga untuk bermain tanpa henti.
Kelincahan mereka adakalanya dilabel ‘anak nakal’ oleh orang lain.
Apatah lagi apabila kanak-kanak yang sangat lincah ini dibandingkan dengan kanak-kanak seusia yang lebih sopan.
Namun, wujudkah ‘anak nakal’ ini?
Tidak dinafikan, memang terdapat kanak-kanak yang ‘nakal’ disebabkan tingkah laku dan komunikasi mereka adakalanya menyebabkan ketidakselesaan kepada rakan lain.
Nakal itu sendiri bermaksud suka melakukan sesuatu yang dilarang seperti mengganggu orang lain, tidak menurut arahan, mencuri, bercakap kasar, menggunakan perkataan tidak elok semasa berinteraksi dan lain-lain.
Terdapat sesetengan ibu bapa mengakui kenakalan anak mereka, namun ada juga melihat kenalan itu sebagai satu proses pembelajaran.
Namun, sejauh mana kebenaran di sebalik semua tanggapan ini?
Apakah faktor menyebabkan kanak-kanak itu menjadi nakal?
Terdapat banyak faktor yang boleh dikaitkan dengan kenakalan anak-anak. Pertama, pastinya gaya asuhan dan didikan ibu bapa atau penjaga di rumah.
Keluarga adalah persekitaran pertama apabila seseorang dilahirkan.
Keluarga atau penjaga memainkan peranan penting dalam mencorak keperibadian diri seseorang, termasuk kanak-kanak.
Sesetengah ibu bapa, seringkali menurut apa sahaja kehendak anak-anak kerana tidak mahu mendengar tangisan dan rengekan mereka.
Namun, tanpa disedari keadaan ini akan menjadikan anak-anak lebih bersikap suka mengarah, berfikir semua kehendaknya perlu dan akan dipenuhi.
Ada juga ibu bapa yang tidak konsisten mempamerkan emosi tertentu kepada anak-anak. Misalnya, emosi marah.
Ada ibu bapa berpura-pura memarahi anak, ada juga pada awalnya memarahi anak, kemudian mungkin berasa kasihan, lantas tertawa dan kembali memujuk anak tersebut.
Dalam situasi lain, si bapa memarahi dan menegur tindakan anak yang tidak betul, namun ibu membela anaknya.
Situasi-situasi ini boleh menyebabkan anak-anak keliru dengan pelbagai bentuk emosi dipamerkan ibu bapa.
Akhirnya berfikir tindakan ibu atau bapa yang memarahi mereka itu adalah tidak serius dan hanya berjenaka.
Selain itu, segelintir ibu bapa atau orang dewasa juga sering membiarkan tingkah laku nakal anak-anak kerana beranggapan mereka masih kecil dan kenakalan itu normal.
Namun tanpa disedari, ada kesan negatif mungkin boleh timbul akibat perkara yang dianggap normal itu.
Tetapi, bukankah kenakalan ini bagus yang mana ia menunjukkan keaktifan dan kebijakan seseorang kanak-kanak?

CARILAH masa berkualiti untuk bersama anak-anak untuk mendengar cerita mereka serta memberi respons sewajarnya.–GAMBAR HIASAN
Tidak dinafikan, anak ‘nakal’ atau banyak akal ini mempunyai lebih banyak pengalaman kerana mereka melalui dunia penerokaan dengan pelbagai percubaan.
Mereka bebas untuk mencuba dan mempelajari perkara baharu.
Lumrah kehidupan dunia kanak-kanak adalah bermain.
Mereka hanya memikirkan tentang keseronokan dan keinginan untuk mencuba pelbagai perkara menarik.
Pada peringkat ini, salah satu tugas perkembangan anak-anak adalah meneroka dunia persekitaran.
Kanak-kanak yang berjaya melaksanakan tugas pada peringkat ini membolehkan mereka berkembang ke fasa kehidupan seterusnya.
Namun, sebagai ibu bapa, kita harus sentiasa ingat, kanak-kanak ini adalah makhluk kecil yang sentiasa memerlukan bantuan orang dewasa.
Meskipun dunia mereka adalah dunia bermain dan meneroka pelbagai perkara, anak-anak ini sebenarnya amat memerlukan bantuan orang dewasa untuk memandu tingkah laku mereka.
Hal ini termasuklah untuk membezakan apakah yang boleh dan tidak boleh dilakukan serta penjelasan di sebalik arahan tersebut.
Kanak-kanak yang dibiarkan meneroka dunia mereka secara sendiri, bebas tanpa pemantauan ibu bapa, dibimbangi akan menerapkan pemikiran dan nilai dalam hidup tidak tepat.
Wujud kemungkinan yang mana kebiasaan tingkah laku diamalkan pada peringkat usia kanak-kanak akan dibawa sehinggalah dewasa yang boleh mempengaruhi perkembangan emosi dan personaliti.
Sebagai contoh, kanak-kanak yang sering merosakkan alat permainan di taman permainan tanpa ditegur dan diberi penjelasan sewajarnya, boleh menyebabkan mereka membawa sikap dan perbuatan tersebut sehinggalah mereka dewasa.
Apabila dewasa, anak-anak ini menganggap tingkah laku tersebut adalah perkara biasa sehingga membawa mereka ke arah vandalisme.
Begitu juga dengan situasi yang lain seperti kanak-kanak yang biasa memukul rakan-rakan semasa bermain dalam kelas, tanpa ada bimbingan sewajarnya akan menyebabkan perbuatan itu sebati dalam diri mereka.
Apa yang paling dikhuatiri, sikap dan perbuatan itu menyebabkan mereka menjadi pembuli apabila meningkat remaja dan dewasa.
Justeru, ibu bapa dan penjaga khususnya haruslah berusaha untuk memahami apakah yang sedang berlaku dalam peringkat usia anak-anak.
Ibu bapa dan penjaga perlu bersedia untuk memberi ruang dan bimbingan secukupnya kepada anak-anak.
Ini bagi membolehkan mereka terus berkembang dengan baik, pada masa sama mendapat bimbingan tentang perbuatan dan sikap.
Pada zaman teknologi serba canggih ini, ibu bapa dapat mengakses pelbagai platform untuk mendapatkan informasi tentang keibubapaan.
Maka, carilah ilmu yang boleh dijadikan panduan khususnya dalam mendidik dan membesarkan anak-anak.
Ibu bapa juga perlu memberi ruang kepada anak-anak kecil ini untuk mendengar suara hati mereka, memberi peluang untuk membuat pilihan dalam kehidupan dengan bimbingan.
Selain itu, konsisten dalam mendidik dan tidak jemu untuk mengulangi nasihat yang sama kepada anak-anak adalah amat penting.
Sebagai ibu bapa, kita perlu sedar tahap pemikiran anak-anak masih rendah, mereka masih belum mampu untuk berfikir seperti orang dewasa.
Adakalanya ibu bapa sering mengatakan kepada anak-anak, ‘Berapa kali ibu nak cakap? Asyik cakap hal yang sama, masih tak faham-faham lagi ke?
Dialog ini kerap diutarakan ibu bapa kepada anak-anak kecil.
Tanpa disedari, anak-anak ini masih belum dapat memahami sepenuhnya apa yang disampaikan oleh orang dewasa kepada mereka, sesuai dengan tahap perkembangan kognitif mereka.
Justeru, sebagai orang dewasa, kita tidak seharusnya jemu untuk mengulang nasihat sama kepada anak-anak.
Selain itu, didikan agama dan moral perlu menjadi asas didikan anak-anak.
Ajarlah anak-anak tentang ilmu agama dan perkara moral agar anak-anak ini mempunyai asas kukuh yang memandu kehidupan mereka.
Namun, tidak dinafikan adakalanya menjadi satu kekangan dari segi mencari ruang masa untuk bersama anak-anak ini, khususnya bagi ibu bapa bekerja.
Kesibukan seharian dalam mencari rezeki untuk keluarga mengehadkan masa bersama anak-anak.
Ada ibu bapa yang keluar rumah untuk bekerja sebelum matahari terbit dan pulang ke rumah selepas matahari terbenam, menyebabkan mereka tidak mempunyai kesempatan memantau aktiviti anak-anak.
Namun, ingatlah, kita melalui fasa kehidupan kanak-kanak hanya sekali dalam hidup ini.
Fasa ini amat penting dalam pembentukan identiti dan personaliti apabila seseorang membesar.
Carilah masa yang berkualiti untuk bersama anak-anak untuk mendengar cerita mereka serta memberi respons sewajarnya kepada mereka.
——————————————————————————————————————————
DR. NORFAEZAH MD. KHALID ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya.














