KUALA TERENGGANU – Pengawal peribadi Ustaz Azhar Idrus (UAI), Mohd. Faizzan Mohd. Yussof mempertahankan tindakannya menjeling tajam ke arah seorang lelaki yang memegang janggut penceramah itu kerana bimbangkan mengenai keselamatan tokoh agama tersebut.
Mohd. Faizzan, 37, berkata, insiden tersebut merupakan kejadian kali pertama berlaku sejak dia menjadi pengawal peribadi UAI lima tahun lalu secara sukarela.
Katanya, kejadian yang berlaku di sebuah masjid di Taiping pada malam Sabtu lalu tidak patut berlaku kerana memegang janggut mana-mana individu tanpa persetujuan dianggap sebagai kurang beradab.
“Ketika itu UAI sedang bersalaman dengan jemaah yang hadir dan tiba-tiba seorang lelaki memegang janggut UAI sambil merakam perbuatannya dengan telefon bimbit dipercayai untuk dimuat naik di media sosial.
“Saya terkejut dan geram dengan tindakannya yang tidak sesuai dilakukan pada masa dan tempatnya,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Berita berkaitan: Lelaki pegang janggut Azhar Idrus ditenung tajam oleh pengiring
Sebelum ini, Kosmo! Online melaporkan mengenai tindakan Mohd. Faizzan yang menjeling tajam kepada seorang jemaah yang memegang janggut UAI ketika tokoh itu sedang bersalaman dengan hadirin.
Penyebaran video tersebut telah mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai rata-rata menegur perbuatan lelaki tersebut.
Menurut Mohd. Faizzan, dia sudah berjumpa dengan lelaki berusia lingkungan 20-an itu dan membawanya berjumpa UAI untuk meminta maaf.
Tambahnya, dia memberi alasan mahu mengambil berkat kerana terlalu gembira dapat bertentang mata dengan tokoh agamawan tersebut.
“Saya nasihatkan dia supaya jangan buat lagi kerana ia kurang sopan walaupun mahu bergurau. Saya hanya mahu menjaga keselamatan ustaz dan diharap ia tidak dijadikan polemik,” katanya.
















